Lobi antarabangsa, advokasi langkah tamatkan krisis di Palestin
Pada setiap 19 Ogos, dunia menyambut Hari Kemanusiaan Sedunia sebagai menghargai serta mengiktiraf pekerja kemanusiaan yang mendedikasikan hidup mereka untuk kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat.
Sejak Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerima resolusi ketetapan tarikh itu sebagai Hari Kemanusiaan Sedunia, seluruh dunia mengenang dan menghargai ratusan ribu pekerja kemanusiaan, termasuk mereka yang tidak pernah lelah menabur bakti di bumi Palestin.
Pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan dihulurkan untuk membebaskan Palestin dari dasar aparteid Israel, namun rakyat negara itu terus menerima penindasan.
Palestin bukan menerima bantuan kemanusiaan dari satu negara sahaja, malah hampir seluruh pelosok negara dunia. Justeru, mengapakah isu penindasan di Palestin berterusan sehingga kini. Adakah bantuan kemanusiaan dihulurkan menyelesaikan isu pada peringkat permukaan sahaja?
Sedikit sebanyak isu ini membuktikan masih terdapat kelompangan dalam kerja kemanusiaan dilakukan dunia, termasuk perihal bentuk bantuan kemanusiaan.
Selain usaha menghantar bantuan, membina semula infrastruktur, memberikan bantuan pendidikan, perkara perlu dilakukan adalah membantu menyelesaikan masalah dari peringkat akar umbi supaya tidak menjadi sekadar ‘membersihkan sisa kotoran’ pihak tertentu yang mengabaikan nilai kemanusiaan.
Ketika ini, Palestin berada di tangga ke-14 dalam kedudukan negara memerlukan bantuan. Seramai 2.1 juta orang memerlukan bantuan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merancang membantu 1.3 juta penduduk membabitkan perbelanjaan sebanyak RM 2.2 bilion.
Rakyat Palestin terus ditindas
Di Tebing Barat, aktiviti penempatan haram Israel berterusan tanpa henti dan rakyat Palestin hidup dalam persekitaran terseksa. Hal ini dapat dilihat dengan peningkatan dana bantuan kemanusiaan penduduk Palestin pada 2021 iaitu AS$417 juta berbanding pada 2022 iaitu AS$510 juta.
Pertambahan dari segi dana ini menunjukkan terdapat peningkatan dalam keperluan untuk memulihkan infrastruktur yang musnah akibat peperangan dan penindasan Israel.
Sekatan dan konflik berterusan rejim Israel melumpuhkan ekonomi Palestin dan menyebabkan keperluan hidup mereka semakin terdesak. Bangunan awam, termasuk sekolah, hospital dan kediaman warga Palestin dirobohkan atas alasan tiada permit menjadikan rakyat Palestin semakin tersepit dan kehilangan tempat perlindungan serta kemudahan asas dengan dasar aparteid Israel.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netahanyu berulang kali menyasarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) yang ditubuhkan khas membantu Palestin untuk menyemak semula takrifan pelarian supaya dapat mengurangkan pembiayaan kepada agensi itu.
Jika hal ini berterusan, pasti memberi kesan terhadap belanjawan UNRWA. Kesan daripada itu juga, pelarian Palestin kehilangan perkhidmatan asas dan kekurangan perlindungan hak asasi sehingga menyumbang kepada krisis kemanusiaan dunia.
Realiti ini memperlihatkan bentuk bantuan material tidak mencukupi untuk menamatkan krisis di Palestin. Rakyat Palestin masih di belenggu tindakan aparteid Israel.
Justeru, bagi menyelesaikan kemelut ini, penting untuk pekerja kemanusiaan tidak sekadar menumpukan terhadap bantuan material semata-mata, tetapi menyediakan bantuan sokongan advokasi kepada rakyat Palestin.
Bertepatan dengan tema Hari Kemanusiaan Sedunia 2022 It takes a village, masyarakat dunia perlu menghayati maksud bantuan dan kerja kemanusiaan secara lebih mendalam.
Bantuan kemanusiaan seharusnya lebih berfokus terhadap lobi dan advokasi, tekanan politik, perpaduan dan solidariti, serta sokongan akar umbi domestik untuk membantu rakyat Palestin menuntut semula keadilan dan negara berdaulat.
Sumber: BH