2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
salmiya_1719845431
Info Semasa

Lebih 7 bulan ditahan Israel, pengarah hospital Gaza dedah ‘seksaan teruk’

Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya, mendedahkan bahawa dirinya ‘diseksa’ oleh Israel sepanjang tempoh lebih tujuh bulan berada dalam tahanan rejim Zionis sebelum dibebaskan, semalam.

Menurut Berita Harian, ketua hospital terbesar di Semenanjung Gaza itu adalah antara lebih 50 rakyat Palestin dibebaskan kali ini dan pulang ke wilayah berkenaan untuk menerima rawatan, menurut pihak berkuasa Israel.

Dr Mohammed berkata, beliau serta tahanan lain menempuhi ‘penyeksaan teruk’ ketika berada dalam kurungan Israel, malah ia turut menyebabkan ibu jarinya patah.

“Tahanan terpaksa berdepan segala bentuk dan jenis penyeksaan. Sebilangan daripada mereka meninggal dunia di pusat soal siasat, selain menghadapi kekurangan makanan serta ubat-ubatan.

“Malah, selama dua bulan, tiada tahanan yang makan lebih daripada sebuku roti sehari.

“Tahanan mengalami penghinaan secara fizikal dan psikologi,” katanya sambil memaklumkan tiada sebarang pertuduhan dikenakan ke atas beliau walaupun ditahan selama berbulan-bulan.

Tentera Israel menahan Dr Mohammed dalam satu daripada banyak serbuan yang dilakukan pasukan rejim itu ke atas Hospital Al-Shifa.

Sebahagian besar hospital itu telah ranap serta dimusnahkan tentera Israel yang tidak henti-henti melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lalu.

Sementara itu, sumber perubatan di Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah memberitahu AFP, Dr Mohammed bersama tahanan lain yang dibebaskan telah melintas pulang dari Israel ke Gaza, di timur Khan Yunis.

Katanya, lima daripada tahanan terbabit dimasukkan ke Hospital Al-Aqsa, manakala yang lain dihantar ke hospital-hospital sekitar Khan Yunis.

Koresponden AFP di Deir al-Balah menyaksikan detik sebak dan penuh beremosi tatkala sesetengah tahanan terbabit bertemu semula dengan keluarga masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi perisikan Israel, Shin Bet, berkata pembebasan itu dilakukan bagi ‘mengurangkan kesesakan di pusat tahanan.’

Menurutnya, tahanan dibebaskan itu adalah mereka yang ‘kurang berbahaya.’

Namun, Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben Gvir, dalam hantaran menerusi X menyifatkan langkah membebaskan Dr Mohammed bersama puluhan lagi yang lain, hari ini, sebagai ‘pengabaian keselamatan.’