Lebih 280 mayat ditemukan dalam kubur besar di Khan Yunis
Petugas kesihatan menemukan sekurang-kurangnya 283 mayat manusia dalam satu kubur besar di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Yunis.
“Petugas pertahanan awam Gaza mengeluarkan 73 lagi mayat daripada kubur besar itu, menjadikan jumlah semua mayat kepada 283 sejak Sabtu,” lapor Berita Harian memetik Agensi Anadolu.
Menurut kenyataan itu, kru pertahanan awam masih lagi mencari mayat dalam kubur itu.
Sebuah kubur besar dijumpai di luar hospital itu pada Sabtu selepas tentera Israel berundur dari bandar itu pada 7 April, selepas melakukan serangan darat selama empat bulan.
Ismail al-Thawabteh daripada pejabat media Kerajaan Gaza berkata, 700 orang hilang sejak tentera Israel berundur dari bandar itu.
Mereka percaya terdapat beratus-ratus jasad masih hilang selepas dibunuh tentera Israel dan ditanam dalam satu kubur besar.
Sekurang-kurangnya 34,151 warga Palestin maut dan 77,000 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, selain kemusnahan berskala besar dan kekurangan barang keperluan asas.
Serangan Israel telah mengakibatkan 85 peratus rakyat Gaza hilang tempat tinggal selain daripada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, sementara 60 peratus daripada infrastruktur yang rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Satu perintah sementara pada Januari memerintahkan Tel Aviv untuk menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan disampaikan kepada orang awam di Gaza.