LEBIH 2,000 PENDUDUK LARI, 19 MAUT PERTEMPURAN DI UTARA MYANMAR
YANGON, 22 Ogos – Pihak kerajaan Myanmar memaklumkan lebih daripada 2,000 penduduk terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka, manakala 19 lagi terbunuh sejak pertempuran meletus antara pasukan kerajaan dan pemberontak dari etnik minoriti di utara Myanmar minggu lalu.
Ketegangan yang semakin memuncak di utara Myanmar adalah satu lagi kekangan dihadapi pemimpin awam Aung San Suu Kyi, dalam cubaan meraih keamanan dan peralihan kuasa dari pemerintahan tentera sepenuhnya.
Semua penduduk yang melarikan diri itu berlindung di kediaman golongan sami yang berada di sekitar pekan Lashio, di utara negeri Shan dan bergantung kepada kumpulan bantuan serta kerajaan untuk mendapatkan keperluan harian.
“Kami memberikan bahan keperluan asas dan wang tunai kepada penduduk di kem perlindungan, mangsa tercedera dan ahli keluarga yang terbunuh,” kata pengarah Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Shan, Soe Naing.
Menurut beliau, bantuan akan diberikan selagi semua penduduk berkenaan masih berlindung di semua khemah.
Ketegangan di rantau itu semakin meningkat sejak Khamis lalu, apabila gabungan pasukan pemberontak anti kerajaan dikenali sebagai Sekutu Utara, melancarkan serangan ke atas kolej elit tentera yang meragut lebih sedozen nyawa, sebahagian besarnya pegawai keselamatan.
Pemenang hadiah Nobel, Suu Kyi memegang tampuk kuasa susulan kemenangan besar dalam pilihan raya akhir 2016, dan berikrar memberi lebih perhatian kepada rundingan damai antara kumpulan gerila etnik minoriti, tentera dan kerajaan awam.
Bagaimanapun, konflik masih berterusan di negeri Kachin di bahagian utara dan negeri Shan, selain barat wilayah Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh.
Sumber: Berita Harian