WhatsApp Image 2024-03-18 at 2.38.50 PM (2)
Uncategorized @ms

Lebih 13,000 kanak-kanak terbunuh di Gaza – UNICEF

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 13,000 kanak-kanak terbunuh dalam serangan di Gaza dan ramai lagi menderita akibat kekurangan zat serta kebuluran, malah ‘tidak berdaya untuk menangis’.

“Ribuan lagi cedera atau kita masih belum mengetahui di mana mereka berada sekarang, mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, lapor Berita Harian.

“Kita tidak pernah melihat kematian kanak-kanak sebegini besar dalam mana-mana perang atau konflik sebelum ini di dunia,” kata Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Catherine Russell kepada CBS News dalam program ‘Face the Nation’.

Beliau turut menceritakan pengalaman melawat wad kanak-kanak yang menderita kerana anemia yang teruk akibat kekurangan zat, di mana keseluruhan wad sunyi sepi kerana kanak-kanak dan bayi berkenaan tidak lagi berdaya untuk menangis.

Russell berkata masih terdapat ‘cabaran kerenah birokrasi yang besar’ bagi pergerakan konvoi trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza untuk menghantar bantuan yang amat kritikal sekarang.

Kecaman antarabangsa semakin meningkat terhadap Israel susulan peningkatan ketara kadar kematian dalam kalangan orang awam, krisis kebuluran di Gaza dan dakwaan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah dilanda konflik.

Pakar PBB pada awal bulan ini berkata Israel sedang memusnahkan sistem pengagihan makanan Gaza sebagai strategi lebih besar ‘kempen kelaparan’, yang dinafikan Israel.

Serangan Israel terhadap Gaza yang dikuasai Hamas memaksa keseluruhan 2.3 juta penduduknya menjadi pelarian, menyebabkan krisis kebuluran, memusnahkan wilayah terbabit dan mengorbankan lebih 31,000 orang awam.

Malah, beberapa tuduhan bahawa Israel melakukan genosid atau pembunuhan besar-besaran sudah difailkan dan kini disiasat Mahkamah Antarabangsa.

Sementara itu, Israel menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa hanya mempeertahankan diri selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu mengorbankan 1,200 mangsa selain ratusan lagi dijadikan tebusan.

Megikut perkiraan terkini UNICEF, seorang dalam setiap tiga kanak-kanak berusia bawah dua tahun di utara Gaza mengalami kekurangan zat yang teruk dan diancam kebuluran.