WhatsApp Image 2024-11-21 at 9.51.36 AM (1)
Uncategorized @ms

LAWATAN DELEGASI AFGHANISTAN KE KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BUKA RUANG DIALOG STRATEGIK

Kenyataan Media Serantau Muslim
21 November 2024 / 19 Jamadilawal 1446H

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mengambil maklum akan kegusaran yang dibangkitkan oleh YB Lim Guan Eng berkaitan lawatan rasmi delegasi Afghanistan ke Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kami berpandangan lawatan ini merupakan satu peluang strategik untuk Malaysia mempengaruhi secara konstruktif dasar pendidikan di Afghanistan. Malah lawatan delegasi ini adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mac 2023 akan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dan memperbaiki hubungannya dengan Afghanistan. Sebagai sebuah negara Islam yang maju dan progresif, Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk berkongsi model pendidikan yang telah terbukti berjaya melahirkan modal insan berkualiti tanpa mengira gender.

Adalah penting untuk difahami bahawa penglibatan diplomatik tidak semestinya bermakna sokongan terhadap semua dasar sesebuah negara. Sebaliknya, ia merupakan platform untuk dialog membina dan perkongsian amalan terbaik yang boleh membawa kepada perubahan positif secara beransur-ansur.

Model pendidikan Malaysia yang inklusif, di mana wanita diberi peluang sama rata dalam pendidikan dan kepimpinan – seperti yang dibuktikan oleh kepimpinan YB Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan – boleh menjadi contoh praktikal kepada Afghanistan tentang bagaimana nilai-nilai Islam boleh disepadukan dengan pendidikan moden yang memberdayakan semua lapisan masyarakat.

Serantau Muslim yakin lawatan ini membuka ruang untuk Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam membantu memulihkan akses pendidikan kepada wanita Afghanistan secara diplomatik dan berperingkat, selaras dengan pendekatan diplomasi yang digariskan oleh YAB Perdana Menteri dalam usaha membina hubungan dengan Afghanistan.

KAPTEN BERSEKUTU (PA) MOHD HAKIM MOHD NOR
Pengerusi Serantau Muslim