Info SemasaKenyataan Media

KRISIS MYANMAR: PBB PERLU BERTINDAK

Bangkok: Majlis Penasihat Khas untuk Myanmar (SAC-M), sebuah kumpulan hak asasi manusia mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera bertindak untuk menghentikan pertumpahan darah di negara itu.

Desakan itu ekoran kematian sekurang-kurangnya 82 orang semasa tentera mengepung bandar Bago, kira-kira 70 kilometer di timur laut Yangon, pada Jumaat.

Pengasas SAC-M Chris Sidoti berkata, Myanmar kini diselubungi ketakutan dan huru-hara.

“Setiausaha Agung (Antonio Guterres) mesti menggunakan semua kuasa yang ada untuk mencari jalan menghentikan pembunuhan itu,” kata bekas anggota Misi Pencari Fakta Antarabangsa Bebas PBB di Myanmar dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Yanghee Lee, bekas Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar berkata, junta sedang melakukan pembunuhan, membunuh rakyat yang sepatutnya dilindungi.

“Sukar untuk membayangkan peristiwa ngeri di Bago. Terdapat serangan, pembunuhan, mayat bergelimpangan dan bukti dimusnahkan – umpama operasi pembersihan Tatmadaw (angkatan tentera),” katanya.

Sementara itu, bekas ketua Misi Pencari Fakta Antarabangsa Bebas PBB di Myanmar, Marzuki Darusman berkata, setiap jam ada nyawa yang menjadi korban akibat kerakusan junta.

“Kami menuntut junta menghentikan kekejaman. Harinya akan tiba apabila anda perlu menanggung akibat daripada kekejaman yang dilakukan,” katanya.

Sekurang-kurangnya 710 orang terbunuh sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP).

Media melaporkan serangan di Bago, bermula sebelum subuh pada Jumaat berlarutan hingga petang menyaksikan kekerasan yang melampau.

Penganjur protes Ye Htut berkata tentera “menembak setiap kelibat”, lapor Myanmar Now.

Menurut media tempatan, lebih menyedihkan mayat-mayat dicampak di perkarangan kawasan pagoda Buddha.