WhatsApp Image 2023-05-02 at 9.46.40 AM
Info Semasa

Konflik Sudan mungkin paksa 800,000 penduduk jadi pelarian – PBB

KHARTOUM: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran konflik di Sudan boleh memaksa 800,000 orang menjadi pelarian kerana pertempuran antara puak tentera bertelagah berterusan di ibu negara walaupun gencatan senjata dipersetujui.

Menurut laporan Berita Harian, ratusan orang terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam pertempuran selama 16 hari sejak pertikaian antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF) meletus menjadi konflik pada 15 April.

Krisis itu mencetuskan bencana kemanusiaan, membawa kemusnahan ke Khartoum, selain berisiko menarik campur tangan kuasa serantau dan mencetuskan semula konflik di wilayah Darfur.

Ramai terpaksa meninggalkan negara berikutan bimbang nyawa mereka terancam dalam perebutan kuasa antara ketua tentera dan ketua RSF, yang berkongsi kawalan kerajaan selepas rampasan kuasa pada 2021.

Bagaimanapun, kedua pihak berselisih mengenai peralihan yang dirancang kepada pemerintahan awam, susulan kedua-dua pasukan itu disyorkan bergabung.

Ahad lalu, kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan gencatan senjata, yang sebahagian besarnya tidak dipatuhi, selama 72 jam dan PBB memberitahu Reuters pasukan saingan mungkin mengadakan rundingan gencatan senjata di Arab Saudi.

Namun, serangan udara dan bedilan artileri terus kedengaran semalam dengan asap berkepul-kepul kelihatan memenuhi ruang udara Khartoum dan bandar jiran.

Pegawai PBB, Raouf Mazou, berkata pihak agensi pelarian badan itu merancang untuk memindahkan 815,000 orang termasuk 580,000 warga Sudan serta pelarian asing yang kini menetap di negara itu.

Katanya, Penduduk Sudan berjumlah sekitar 46 juta orang dan kira-kira 73,000 sudah meninggalkan negara itu.

Sementara itu, Mesir melaporkan 40,000 rakyat Sudan menyeberangi sempadan negaranya dan mereka menempuhi perjalanan itu dalam keadaan sukar.

Selebihnya, menuju ke Chad, Sudan Selatan dan Ethiopia atau belayar melintasi Laut Merah ke Arab Saudi dengan menaiki bot penyelamat.

Namun, menurut Kementerian Kesihatan Sudan, sekurang-kurangnya 528 orang terbunuh dan 4,599 cedera.

PBB melaporkan jumlah kematian yang sama tetapi angka sebenar dikhuatiri adalah jauh lebih tinggi.

“Saya membuka kedai selama dua atau tiga jam tetapi saya tutup semula kerana tidak selamat,” kata seorang tukang gunting rambut, Abdelbagi di Khartoum yang berkata dia terpaksa terus bekerja kerana kenaikan mendadak harga barangan keperluan.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohamed Ezzeldin, berkata beliau terkejut melihat mayat bergelimpangan dan kawasan perindustrian menjadi sasaran perompak.

“Kami melihat mayat di merata tempat, kawasan perindustrian semuanya dirompak. Ada orang dilihat memikul televisyen dan guni besar hasil rompakan dari kilang,” katanya.

Bekalan kuasa dan air tidak menentu, selain makanan dan bahan api semakin susut, dengan kebanyakan hospital dan klinik tidak beroperasi manakala kos pengangkutan yang melambung tinggi menyukarkan penduduk meninggalkan negara.

PBB dan pertubuhan bantuan lain menghentikan perkhidmatan, walaupun Program Makanan Sedunia (WFP) berkata ia menyambung semula operasi di kawasan yang lebih selamat semalam selepas kakitangannya terbunuh pada awal pertempuran.