661df388-721f-44ae-b088-84192439e7c6
Uncategorized @ms

KERAJAAN SYRIA ZAHIRKAN PENGHARAPAN, MAHU MALAYSIA DIBAWAH PEMERINTAHAN PMX BERI SOKONGAN DAN KEBERSAMAAN

KENYATAAN MEDIA SERANTAU MUSLIM

UNTUK EDARAN SEGERA
Tarikh: 21 Februari 2025

Serantau Muslim berpandangan bahawa Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam usaha pemulihan dan pembangunan semula Syria melalui hubungan rasmi yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Dalam pertemuan Serantau Muslim bersama Mr. Muhammad Khalaf dari Kementerian Luar Syria di Pejabat Pentadbiran Syria di Damascus semalam, beliau menzahirkan harapan yang tinggi agar Malaysia menjadi antara negara Islam terawal yang memperkukuhkan kerjasama rasmi dengan Syria.

Pertemuan ini adalah rangka kerjasama Serantau Muslim dengan Kerajaan Syria sempena Misi Kemanusiaan Bina Semula Syria yang diadakan sejak 19 hingga 26 Februari ini.

Mereka melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang berjaya membangunkan ekonominya berlandaskan prinsip Islam, sekali gus menjadikannya rakan strategik yang lebih sesuai berbanding negara-negara barat yang turut menawarkan bantuan tetapi mungkin dengan agenda tertentu.

Kerajaan Syria sangat menghargai kepakaran Malaysia dalam kewangan Islam, perbankan, perladangan, pembangunan infrastruktur, industri tenaga dan air, serta teknologi tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). Mereka yakin pengalaman Malaysia dalam membangunkan negaranya sendiri berdasarkan citra Islam boleh menjadi panduan yang bermanfaat dalam usaha pemulihan dan pembangunan semula Syria.

Malah, kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang lantang dalam memperjuangkan keadilan global dan memperkukuhkan hubungan dunia Islam turut mendapat perhatian positif Dan pujian kerajaan Syria.

Atas dasar ini, mereka amat berharap Malaysia dapat menzahirkan sokongan secara rasmi terhadap kerajaan Syria yang baru dibentuk.

Selain itu, kami mengharapkan kerajaan segera menghantar delegasi rasmi untuk memulakan rundingan yang akan membuka ruang besar kepada pelaburan, perdagangan, serta bantuan kemanusiaan yang lebih tersusun dan berskala besar.

Malaysia tidak boleh terlepas peluang ini, kerana selain memberi manfaat ekonomi dan diplomatik kepada negara kita, ia juga merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam dunia Islam. Hubungan rasmi ini akan membolehkan syarikat-syarikat Malaysia memasuki pasaran Syria lebih awal, meneroka peluang pelaburan yang luas, serta menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam usaha membangunkan semula Syria.

Selain itu, usaha menjadikan perhubungan antara kerajaan (G2G) ini lebih rasmi akan mempermudahkam pelaksanaan inisiatif kemanusiaan berskala besar yang diperlukan untuk membantu rakyat Syria bangkit semula selepas belasan tahun melalui tempoh sukar.

Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa komited dalam misi kemanusiaan dan memperkukuhkan jaringan dunia Islam, Serantau Muslim menyatakan sokongan penuh kepada usaha kerajaan Malausia dibawah kepimpinan PMX untuk menjadikan perkara ini satu realiti.

Kami percaya bahawa langkah ini bukan sahaja akan memberi manfaat besar kepada Malaysia dan Syria, tetapi juga akan menjadi lambang persaudaraan Islam dan kerjasama sejagat yang lebih bermakna.

Kami amat berharap agar kerajaan Malaysia dapat meneliti cadangan ini dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan demi manfaat ummah secara keseluruhannya.

KAPTEN BERSEKUTU (PA) USTAZ MOHD HAKIM MOHD NOR
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim)

Damascus, Syria