Keputusan ICJ beri tekanan kepada Israel henti genosid di Gaza
Rakyat Palestin menzahir rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang tidak mengarahkan gencatan senjata di Gaza, namun menyifatkan prosiding berkenaan berupaya menimbulkan harapan untuk akauntabiliti terhadap pembunuhan orang awam di wilayah terkepung itu.
Dalam laporan Utusan, prosiding yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia Arab dan di Israel, ICJ mengarahkan Israel menghentikan sebarang tindakan genosid terhadap rakyat Palestin dan membantu lebih ramai orang awam yang menderita.
Keputusan itu memusnahkan harapan Palestin terhadap perintah mengikat menghentikan perang dan mengecewakan Israel yang berharap membuang kes di bawah konvensyen pembunuhan beramai-ramai yang ditubuhkan selepas Holocaust.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengalu-alukan keputusan ICJ untuk tidak mengarahkan gencatan senjata tetapi menolak dakwaan genosid sebagai keterlaluan dan bertegas Israel akan terus mempertahankan dirinya.
“Mahkamah secara adil menolak tuntutan keterlaluan untuk melucutkan Israel daripada hak asas untuk mempertahankan diri.
Tetapi dakwaan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin bukan sahaja palsu, ia keterlaluan dan kesediaan mahkamah untuk membincangkan perkara ini adalah perkara memalukan yang tidak akan dipadamkan selama beberapa generasi,” katanya.
Sementara itu, di Tebing Barat, rakyat Palestin menonton prosiding di skrin besar di pejabat kerajaan di Ramallah sambil memegang sepanduk bertulis ‘Terima Kasih Afrika Selatan’.
Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, keputusan itu adalah perkembangan penting yang menyumbang kepada pengasingan Israel dan mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai jenayah di Gaza.
“Keputusan itu bermakna tamatnya era Israel bebas daripada tindakan undang-undang dan negara-negara yang menyokong Israel perlu menghentikan sokongan dan bantuan mereka,” kata Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh.
Arab Saudi turut mengalu-alukan keputusan ICJ dan menyeru masyarakat dunia menekan Israel supaya bertanggungjawab ke atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukannya.
Dalam pada itu, Menteri Hubungan Antarabangsa Afrika Selatan, Naledi Pandor berkata, Israel perlu menghentikan pertempuran di Semenanjung Gaza yang terkepung jika ia mahu mematuhi perintah ICJ.
“Bagaimana anda memberikan bantuan dan air tanpa gencatan senjata? Jika anda membaca perintah itu, secara tersirat gencatan senjata mesti berlaku,” tegasnya.
Sementara itu, Pendakwaraya jenayah perang veteran, Reed Brody berkata, perintah mengikat itu akan memberi tekanan kepada rejim Zionis dan sekutunya bagi menamatkan hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza selain membenarkan banyak bantuan kemanusiaan disalurkan.
Beliau percaya, cadangan ICJ bahawa terdapat kes genosid yang munasabah akan menyukarkan Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan bantuan ketenteraan tanpa syarat kepada Israel, supaya ia tidak dituduh bersubahat.
Bagi Penolong Profesor Kriminologi Universiti Fraser Valley Kanada, Mark Kersten, keputusan ICJ menunjukkan kes berkaitan genosid di Gaza masih boleh diteruskan.
“Netanyahu sedar bahawa The Hague tidak akan dapat menghalangnya dalam perang terhadap Hamas, tetapi ia akan membentuk tingkah laku Israel,” katanya dipetik Agensi Anadolu.
Berhubung perintah ICJ agar Israel menyerahkan laporan berkenaan pencegahan tindakan genosid di Gaza dalam tempoh sebulan, peguam veteran, Francis Boyle meramalkan rejim Zionis bakal mematuhinya namun mereka akan kembali dengan banyak pembohongan.