
KENYATAAN MEDIA SERANTAU MUSLIM 19 JANUARI 2025
MISI KEMANUSIAAN BINA SEMULA SYRIA SERANTAU MUSLIM BERMULA HARI INI
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Alhamdulillah, dengan rasa penuh syukur ke hadrat Allah SWT, saya ingin memaklumkan bahawa Serantau Muslim telah memulakan Misi Kemanusiaan Bina Semula Syria yang akan berlangsung sehingga 26 Februari 2025.
Serantau Muslim berbesar hati menjadi sebahagian daripada Gabungan Bina Semula Syria, yang menghimpunkan puluhan NGO Malaysia dalam usaha membantu pembangunan semula Syria selepas pembebasan.
Misi ini merupakan lawatan penting untuk melihat sendiri situasi terkini di Syria dan menilai keberkesanan bantuan kemanusiaan yang sedang digerakkan oleh Serantau Muslim di sana. Ia juga meneruskan semangat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap nasib umat Islam dan kemanusiaan sejagat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam misi ini, delegasi kami dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Syria bagi membincangkan peluang kerjasama dan mencapai persetujuan Memorandum Persefahaman (MOU). Usaha ini bukan sahaja akan memantapkan bantuan kemanusiaan Serantau Muslim, malah turut mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sebagai negara yang komited dalam membantu pembangunan semula Syria.
Delegasi Serantau Muslim diketuai oleh saya sendiri bersama Saudara Muhamad Faeez Azahar selaku Setiausaha, dengan diiringi duta-duta rasmi kami Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan Da’i Nur Afiqah Mahmud.
Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha pembinaan semula Syria ini. Setiap sumbangan anda, tidak kira besar atau kecil, akan membantu membawa harapan baharu kepada saudara-saudari kita di Syria, sambil mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang sentiasa tampil ke hadapan dalam membantu ummah.
Sekian, terima kasih.
KAPTEN BERSEKUTU (PA) USTAZ MOHD HAKIM MOHD NOR
Pengerusi
Serantau Muslim
-TAMAT-



