Kenyataan Media 20 Januari 2019
‘PERKASA TATACARA PEMEGANG DAN PELAKSANA SISTEM KEADILAN MENGIKUT ACUAN TIMUR DAN TINGGALKAN BUDAYA BRITISH’ -SERANTAU MUSLIM
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) melahirkan rasa terkilan berikutan tularnya sebuah rakaman video di laman sosial media yang menunjukkan beberapa orang penjawat awam yang terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas serta beberapa individu lain lagi turut bersama-sama dalam sebuah majlis tari menari sempena Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019, yang diadakan di Sabah.
SERANTAU MUSLIM merasakan tindakan individu yang mempunyai nama besar dalam masyarakat itu dianggap melanggar tertil budaya seorang penguatkuasa undang-undang dan turut mengundang kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Tindakan kebaratan itu juga secara tidak langsung memberi imej buruk terhadap institusi perundangan negara yang mana ia sepatutnya dihormati kerana nilai-nilai yang dipegang mereka sejak dahulu lagi. Mereka seharusnya menjaga etika dan ketertiban sebagai seorang yang berkredibiliti dalam masyarakat, bukan sebaliknya.
Dalam isu ini, SERANTAU MUSLIM ingin mengingatkan bahawa institusi perundangan negara adalah harapan tinggi rakyat kerana ia adalah institusi yang sangat dihormati dan disegani dalam memberi teladan dan pengajaran kepada rakyat.
Umum memahami bahawa badan perundangan adalah badan yang tegas dalam membuat sebarang keputusan terutama isu-isu keselamatan, keadilan serta penguatkuasaannya dalam perundangan negara. Jadi, amat penting untuk setiap anggota di bawah institusi perundangan berada seiring dengan tanggungjawab mereka tanpa sebarang celaan pada mata komuniti.
Dalam pada itu juga, SERANTAU MUSLIM turut melihat penglibatan individu tersohor negara dalam majlis tari menari pada Malam Gala tersebut sangat bertentangan dengan budaya Malaysia apatah lagi mencemar budaya Timur yang kaya dengan adab dan adat.
Jika tiada pengawalan terhadap budaya ini, dibimbangi keadaan menjadi lebih parah sehinggakan merosakkan sistem perundangan negara yang sedia ada dan menjadikan massa hilang rasa hormat rakyat kepada pengamal perundangan jika benar seperti yang dinyatakan penganjur bahawa ianya dikatakan sebagai acara tahunan.
Justeru, SERANTAU MUSLIM ingin menyeru bahawa sudah tiba masanya negara kita, Malaysia memperkasakan tatacara pemegang dan pelaksana sistem keadilan mengikut acuan tersendiri dan meninggalkan budaya British yang cuba dikekalkan dalam sistem kita sehingga hari ini
‘Persaudaraan Rentas Sempadan’
Dr Raja Ahmad Iskandar bin Raja Yaacob
Pengerusi,
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim.