7922afa1-cdbd-46a6-adf8-5272ae0093ce.jpg
Info Semasa

Kematian setiap empat saat akibat kebuluran – NGO

NEW YORK: Lebih 200 badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh dunia memberi amaran realiti yang berlaku hari ini ialah dianggarkan seorang penduduk dunia mati kelaparan setiap empat saat.

Memetik laporan AFP, isu itu dianggap amat serius dan menggesa tindakan tegas antarabangsa diambil untuk menamatkan krisis kelaparan di seluruh dunia.

Dalam sepucuk surat kepada para pemimpin dunia yang berhimpun di New York bagi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 238 badan daripada 75 negara, termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan England (Oxfam), Organisasi kemanusiaan Save the Children dan Plan International meluahkan kemarahan terhadap isu kebuluran yang kian melonjak.

“Seramai 345 juta orang kini mengalami ‘kebuluran akut’, jumlah yang meningkat lebih dua kali ganda sejak 2019.

“Walaupun pemimpin dunia berjanji tiada isu kebuluran akan berlaku lagi pada abad ke-21, isu kebuluran masih berlaku di Somalia. Dianggarkan 50 juta orang di 45 negara mungkin mengalami kebuluran,” menurut kenyataan badan-badan NGO berkenaan.

Difahamkan, seramai 19,700 orang pula dianggarkan meninggal dunia akibat kebuluran setiap hari sama dengan seorang meninggal dunia setiap empat akibat kelaparan.

Kesatuan Jagaan Keluarga Yaman, Mohanna Ahmed Ali Eljably memaklumkan, isu ini disifatkan sebagai sesuatu yang teruk kerana dengan kecanggihan teknologi dalam bidang pertanian dan penuaian pada masa kini, dunia masih membincangkan tentang kebuluran.

“Ini bukan melibatkan sebuah negara atau satu kontinen, kebuluran tidak terjadi dengan satu punca sahaja. Ini tentang ketidakadilan dalam hal kemanusiaan,” tegasnya yang meminta pemimpin di seluruh dunia mengambil tindakan segera.

Sumber: BH