KEMATIAN AKIBAT BANJIR TERBURUK DI FILIPINA MENINGKAT
MANILA: Angka kematian akibat taufan paling buruk melanda Filipina tahun ini meningkat kepada 67 orang, tatkala banyak kawasan masih ditenggelami air di wilayah utara yang dilanda banjir terburuk dalam tempoh lebih empat dekad, kata pegawai hari ini.
Presiden Rodrigo Duterte terbang ke provinsi Tuguegarao utara untuk menilai keadaan di wilayah Lembah Cagayan, yang dilanda banjir besar selepas Taufan Vamco melimpahkan hujan di kawasan pulau Luzon utama, termasuk ibu kota, metropolitan Manila.
Sebanyak 22 kematian dicatatkan di Cagayan, 17 di wilayah Luzon selatan, lapan di Metro Manila, dan 20 di dua wilayah lain, kata Mark Timbal, jurucakap agensi pengurusan bencana.
Seramai 12 orang masih hilang dan hampir 26,000 rumah rosak disebabkan oleh Taufan Vamco, katanya.
“Ini adalah banjir terburuk yang kami alami dalam 45 tahun terakhir,” kata Gabenor Cagayan, Manuel Mamba, dalam taklimat dengan Duterte.
“Kami melihatnya semakin buruk setiap tahun.”
Kesan gangguan cuaca yang terkumpul dan sejumlah besar air dari sebuah empangan mempengaruhi ribuan keluarga di Cagayan, beberapa di antaranya melarikan diri ke bumbung rumah untuk mengelakkan banjir setinggi dua tingkat bangunan.
Enam taufan melanda Filipina dalam jangka masa hanya empat minggu, termasuk Vamco dan Taufan Goni, yang paling kuat di dunia tahun ini.
Namun, Mamba juga menyuarakan kekesalannya mengenai hutan yang ditebang di Cagayan, mendorong Duterte memerintahkannya supaya mengekang operasi pembalakan di wilayah terbabit.
“Kita selalu bercakap mengenai pembalakan dan perlombongan haram, tetapi tidak ada yang dilakukan mengenainya,” kata Duterte.
Operasi bantuan dan menyelamat diteruskan ketika Empangan Magat yang berdekatan masih membebaskan air, dua hari selepas melepaskan jumlah yang setara dengan dua kolam renang bersaiz Olimpik sesaat, berdasarkan data kerajaan.
Vamco, taufan ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, juga menyebabkan banjir terburuk dalam beberapa tahun di beberapa bahagian di ibu negara.
Sumber: Berita Harian