Screenshot 2024-09-11 155339
Info Semasa

Kedudukan Palestin dalam UNGA diiktiraf

Palestin buat pertama kali mengambil tempat dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sesi ke-79 kali ini.

Ia adalah hak baharu yang diberikan kepada delegasi itu walaupun bukan ahli penuh badan berkenaan, sekali gus menjadi langkah pertama menjadi sebuah negara yang diiktiraf PBB, lapor Berita Harian.

Pada Mei, majoriti besar pada UNGA menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak menjadi ahli penuh, satu langkah yang disekat Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto.

UNGA memberikan delegasi itu hak baharu tertentu dalam resolusi terkini, yang masih mengecualikan Palestin daripada dapat mengundi atau menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Bermula dengan sesi UNGA ke-79 pada Selasa, warga Palestin boleh mengemukakan cadangan dan pindaan, dan duduk dalam kalangan negara anggota.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, mengambil tempatnya pada petang Selasa di meja bertanda ‘Negara Palestin’, yang terletak antara Sri Lanka dan Sudan.

“Ini bukan sekadar prosedur. Ini adalah detik bersejarah bagi kami,” kata Duta Besar Mesir, Osama Mahmoud Abdelkhalek Mahmoud.

Sama seperti ketika penerimaan resolusi itu, Israel mengecam tindakan berkenaan.

“Sebarang keputusan dan atau tindakan yang meningkatkan status rakyat Palestin, sama ada dalam UNGA atau hubungan dua hala, pada masa ini menjadi ganjaran… bagi menggalakkan keganasan secara amnya dan bagi Hamas, khususnya,” kata timbalan duta Israel ke PBB, Jonathan Miller.

Pada April, berikutan meletusnya perang di Gaza, warga Palestin, yang mempunyai status ‘negara pemerhati bukan anggota’ sejak 2012, melancarkan semula bidaan mendapatkan keahlian penuh PBB.

Keahlian penuh bukan saja memerlukan undian oleh UNGA tetapi juga syor sebulat suara UNSC.

AS, sekutu setia Israel, menggunakan kuasa veto bangi membantah syor UNSC mengenai perkara itu pada 18 April lalu.