WhatsApp Image 2023-01-03 at 10.41.44 AM
Info Semasa

Jumlah korban banjir Filipina meningkat 51 orang

MANILA: Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh di seluruh Filipina yang terdedah kepada bencana meningkat kepada 51 orang, kata salah seorang pegawai ketika pihak berkuasa mengagihkan pek makanan kepada komuniti yang paling teruk terjejas di sana.

Menurut laporan yang dikeluarkan Berita Harian, jumlah kematian boleh meningkat lagi apabila pasukan penyelamat mencari 19 lagi yang masih hilang lebih seminggu lalu selepas hujan lebat melanda wilayah tengah dan selatan pada hujung minggu Krismas.

Cuaca buruk melanda ketika negara majoriti Katolik dengan 110 juta orang itu bersiap sedia untuk menyambut cuti Krismas yang panjang.

Lebih 270,000 orang terpaksa mencari perlindungan apabila hujan lebat membanjiri kampung di luar bandar, menyebabkan lebih 4,500 rumah rosak dan memusnahkan lebih 7,000 hektar tanaman.

Dimaklumkan juga bahawa kebanyakan kematian berlaku di wilayah Misamis Occidental, di selatan pulau Mindanao, di mana 19 orang maut akibat lemas atau tanah runtuh akibat hujan.

Filipina disenaraikan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim dan saintis memberi amaran bahawa ribut menjadi lebih kuat apabila dunia semakin panas.