Israel tutup pusat pemeriksaan utama di selatan Tebing Barat
Tentera Israel hari ini menutup pusat pemeriksaan utama yang merupakan satu-satunya jalan menghubungkan selatan Tebing Barat dengan kawasan tengah dan utara wilayah itu.
Dalam laporan Berita Harian yang dipetik dari Agensi Berita WAFA, tentera rejim Zionis telah menutup sepenuhnya pusat pemeriksaan itu sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dan kelewatan yang tidak dijangka.
Israel terus meningkatkan sekatan terhadap kebebasan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, sejak konflik berdarah terkini meletus di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023.
Sementara itu, sekurang-kurang 86 lagi rakyat Palestin maut dan 131 cedera di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu.
Ia sekali gus menjadikan jumlah korban serangan Israel sejak 7 Oktober lalu kini mencecah sekurang-kurang 29,692, manakala 69,879 lagi cedera.
Ambulans dan pasukan penyelamat pula berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi serangan, malah banyak mayat masih tertimbus di bawah runtuhan atau terbiar di jalan raya ketika tentera rejim Zionis terus melancarkan serangan yang turut menyasarkan kakitangan pertahanan awam serta anggota perubatan.
Pencerobohan Israel ke atas Gaza mengakibatkan 85 peratus penduduknya hilang tempat tinggal, selain berdepan ancaman kekurangan makanan, air bersih serta ubat-ubatan, malah 60 peratus daripada infrastrukturnya mengalami kerosakan atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Buat kali pertama sejak Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ditubuhkan pada 1948, Israel telah dituduh melakukan genosid.