Israel terus bom Gaza, kereta kebal menyusup masuk lebih jauh ke Rafah
Tentera Israel mengebom kem pelarian di Semenanjung Gaza dan menyerang bahagian utara Gaza City hari ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang maut, kata pegawai kesihatan dan penduduk.
Pada masa sama, kereta kebal tentera Israel dilaporkan terus mara ke Rafah, bandar paling selatan Gaza, lapor Berita Harian.
Serangan udara Israel turut meragut nyawa enam penduduk di bandar Zawayda di tengah Gaza dan dua lagi terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di kem Bureij.
Pegawai kesihatan turut memaklumkan, serangan udara didalangi Israel itu turut mengakibatkan tiga individu maut. Ketiga-tiga individu berkenaan maut ketika berada dalam sebuah kereta.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Deir Al-Balah, iaitu sebuah bandar yang sesak dengan penduduk yang berpindah dari pelbagai lokasi di Gaza.
Sementara itu, di utara Gaza City, pakar perubatan memaklumkan dua rakyat Palestin terbunuh dalam satu lagi serangan udara.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, anggotanya membunuh dua komander kanan kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam dalam dua serangan udara di Gaza City.
Dakwanya, seorang daripada komander itu terbabit dalam serangan di selatan Israel pada 7 Oktober tahun lalu yang mencetuskan perang di Gaza.
Di Rafah, penduduk berkata kereta kebal Israel terus mara lebih jauh ke sebelah barat bandar itu dan ketika ini mereka berada di puncak bukit.
Tentera Israel berkata, pasukannya menemui sejumlah terowong dan membunuh beberapa lelaki bersenjata.
Sayap bersenjata kumpulan Hamas dan sekutunya berkata, mereka melepaskan bom mortar ke arah tentera Israel di barat daya Rafah hari ini.
Lebih sejuta penduduk berlindung di Rafah sebelum ini, namun kebanyakan orang awam kini berada di banyak tempat sejak Israel melancarkan serangan di sekitar bandar itu, sejak Mei lalu.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertempuran itu menyebabkan hospital medan dengan kapasiti 60 katil di Rafah hampir lumpuh.