Info SemasaKenyataan Media

ISRAEL SERANG SYRIA, 3 ORANG AWAM TERBUNUH

DAMSYIK – Serangan udara Israel berdekatan ibu kota Syria pada awal pagi tadi membunuh tiga rakyat negara itu, lapor media tempatan.

Menurut agensi berita SANA, tiga yang terbunuh mati syahid dan empat yang lain hanya cedera termasuk seorang kanak-kanak akibat terkena serpihan peluru berpandu yang disasarkan ke sebuah rumah oleh tentera Israel.

Mengikut laporan awal SANA, pasukan pertahanan udara Syria berjaya mematahkan kebanyakan peluru berpandu Israel di ruang udara Lubnan, sejurus sebelum subuh.

Video yang disiarkan dalam laman sesawang agensi berkenaan mendakwa ia menunjukkan pesawat pejuang Israel di ruang udara Syria.

Pemantau perang yang berpusat di Britain, Badan Pemerhati Hak Asasi Syria, menegaskan serangan berlaku dekat kawasan tentera Iran dan pejuang militan Lubnan iaitu kumpulan Hezbollah di selatan Damsyik.

Menurut badan itu, empat pejuang terbunuh dalam serangan terbabit.

Sejak konflik Syria bermula pada 2011, Israel beratus kali menyerang negara itu dengan menyasarkan tentera kerajaan termasuk tentera bersekutu iaitu tentera Iran serta pejuang Hezbollah yang juga musuh negara Yahudi itu. 

Sumber: Berita Harian