ISRAEL SERANG DAMSYIK, 6 PEJUANG PALESTIN TERBUNUH
GAZA – Serangan udara dilancarkan Israel di Damsyik mengakibatkan enam pejuang Jihad Islam Palestin terbunuh.
Jet pejuang Israel melancarkan serangan itu tengah malam kelmarin, menyasarkan lokasi disyaki markas Jihad Islam Palestin, selepas kumpulan pejuang terbabit bertempur dengan tentera Israel di sekitar Gaza.
Serangan udara di rantau Adeliyah di luar Damsyik itu menyasarkan lokasi yang disifatkan tentera Israel sebagai ‘hab kegiatan Jihad Islam Palestin di Syria’, termasuk bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) senjata.
Jihad Islam Palestin, dalam satu kenyataan, mengesahkan dua anggotanya terkorban dalam serangan udara itu.
Sementara itu, pemantau hak asasi manusia, The Syrian Observatory for Human Rights, yang berpangkalan di Britain, mengesahkan empat lagi pejuang maut dalam serangan itu.
Ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya seorang mangsa adalah warga Syria manakala kewarganegaraan pejuang lain tidak dapat disahkan.
Jihad Islam Palestin, bersama kumpulan lain yang bersekutu dengan Hamas, sudah bertempur dalam tiga peperangan menentang Israel sejak 2008, dengan markas di Semenanjung Gaza dan Syria.
Agensi berita rasmi Syria, SANA, yang memetik kenyataan sumber tentera, melaporkan pesawat Israel memasuki ruang udara Syria dan kawasan sekitar Damsyik dengan menembak peluru berpandu.
Stesen televisyen rasmi Syria, al-Ikhbariya, menyiarkan gambar menunjukkan letupan di ruang udara Damsyik dan pasukan pertahanan udara Syria menembak jatuh peluru berpandu.
Sumber tentera Syria berkata kebanyakan peluru berpandu berjaya dimusnahkan sebelum sampai ke sasarannya dan anggaran kerosakan akibat serangan itu sedang diteliti.