WhatsApp Image 2024-05-08 at 11.11.34 AM (1)
Uncategorized @ms

Israel mula kosongkan sebahagian Rafah sebelum lancar serangan

Israel mengarahkan orang awam untuk mengosongkan sebahagian Rafah pada Isnin sebagai persediaan untuk serangan darat ke atas kumpulan Hamas di bandar selatan Semenanjung Gaza itu, di mana lebih sejuta penduduk Palestin sedang berlindung.

Melalui pesanan mesej teks Arab, panggilan telefon dan risalah, penduduk diarah untuk berpindah ke zon kemanusiaan yang diperluaskan sejauh 20 kilometer (km) dari Rafah, lapor Berita Harian.

Saksi memberitahu beberapa keluarga Palestin dilihat melarikan diri dalam cuaca hujan musim bunga dan suhu yang sejuk.

Tentera Israel berkata pihaknya telah mula mengarahkan penduduk di Rafah untuk berpindah dalam operasi skop terhad.

Israel tidak memberikan alasan khusus, dan tidak juga memaklumkan jika sebarang tindakan ketenteraan akan berlaku.

Tujuh bulan selepas berperang melawan Hamas, Israel kini mengancam untuk melancarkan pencerobohan di Rafah, yang didakwa mereka menjadi tempat perlindungan pejuang Hamas dan kemungkinan tempat berpuluh-puluh tebusan disembunyikan.

“Kemenangan adalah mustahil tanpa mengambil Rafah,”kata tentera Israel.

Kemungkinan operasi dengan jumlah kematian yang tinggi membimbangkan kuasa Barat dan negara jiran Mesir, yang menjadi pengantara rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, dengan harapan kumpulan pejuang itu mungkin membebaskan beberapa tebusan.

Rancangan menyerang Rafah telah mencetuskan perbalahan awam luar biasa antara Israel dan Washington.

Bercakap kepada rakan sejawatannya dari AS, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengaitkan operasi pada Isnin dengan kebuntuan dalam diplomasi secara langsung dan tidak langsung, serta menyalahkan Hamas.

“Semasa rundingan, Gallant membincangkan usaha yang dilakukan untuk pembebasan tebusan dan mendedahkan bahawa pada peringkat ini, Hamas menolak rangka kerja yang ada.

“Gallant menekankan bahawa tindakan ketenteraan diperlukan, termasuk di kawasan Rafah, berikutan tiada alternatif,” kata Kementerian Pertahanan Israel dalam satu kenyataan.

Pada Isnin, tentera Israel menggesa rakyat Palestin di bahagian timur Rafah untuk berpindah ke kawasan ‘kemanusiaan’ berdekatan, dengan mengatakan ia akan menggalakkan pergerakan beransur-ansur orang awam ke kawasan tertentu.

Stesen Penyiaran Israel, Radio Tentera, berkata pemindahan tertumpu di beberapa daerah pinggir Rafah, yang mana mangsa pemindahan akan diarahkan ke bandar khemah di Khan Younis dan Al Muwassi berdekatan.

Ramai penduduk di Rafah berkata mereka menerima panggilan telefon untuk mengosongkan rumah mereka di kawasan sasaran, sejajar dengan pengumuman tentera.

Pegawai Perubatan Palestin berkata, dalam serangan udara sepanjang malam di Rafah, pesawat Israel membinasakan 10 rumah, membunuh 20 orang dan mencederakan beberapa orang lain.

Tiga askar Israel terbunuh pada Ahad dalam serangan roket Hamas dekat Rafah, di persimpangan Kerem Shalom ke Gaza, manakala pegawai kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh akibat tembakan Israel.

Serangan itu berlaku ketika harapan untuk rundingan gencatan senjata di Kaherah semakin pudar dan Hamas mengulangi tuntutannya untuk menamatkan perang sepenuhnya sebagai pertukaran membebaskan tebusan, tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan tegas menolaknya.

Peperangan bermula selepas Hamas mengejutkan Israel dengan serbuan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu di mana 1,200 orang terbunuh dan 252 tebusan diambil, menurut pengiraan Israel.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, lebih 34,600 rakyat Palestin telah terbunuh, 29 daripadanya dalam tempoh 24 jam yang lalu, dan lebih 77,000 telah cedera dalam serangan Israel.

Pada Ahad, seorang pegawai tertinggi PBB menuduh Israel terus menafikan akses kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza, di mana ketua makanan PBB memberi amaran bahawa masalah kebuluran telah melanda di utara melibatkan 2.3 juta orang.

Walaupun bukan pengisytiharan rasmi, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia Cindy McCain berkata, dalam wawancara NBC News yang disiarkan pada Ahad, berdasarkan keadaan genting di lapangan, terdapat kes kebuluran di utara, dan kini turut menjejaskan penduduk di selatan.