WhatsApp Image 2024-02-21 at 11.37.21 AM
Uncategorized @ms

Israel guna dron kecil bunuh rakyat Palestin dari jarak dekat

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med (Euro-Med Monitor) mendedahkan tindakan tentera Israel menggunakan dron kecil untuk membunuh dan mencederakan rakyat Palestin dari jarak dekat.

Menurut laporan Berita Harian, tentera Israel meningkatkan penggunaan dron kecil untuk membunuh dan mencederakan rakyat Palestin walaupun sebelum ini ia dihadkan untuk tujuan risikan.

Berdasarkan siasatan Euro-Med Monitor, tentera Israel menggunakan dron kecil yang dipasang dalam mesin dan peluru berpandu daripada kategori Matrice 600 dan LANIUS, yang bersifat mudah alih serta serba boleh, yang sesuai untuk operasi jangka pendek.

“Tentera Israel meningkatkan pembunuhan terancang, hukuman mati di luar undang-undang, dan pembunuhan kehakiman terhadap warga Palestin.

“Ia adalah melalui sasaran langsung dengan penembak tepat dan dron di pelbagai wilayah di Semenanjung Gaza, selain pengeboman udara serta artileri di kawasan kediaman,” katanya.

Menurut pertubuhan hak asasi manusia itu, operasi tembakan, pembunuhan dan hukuman mati dilaksanakan Israel menyasarkan orang awam yang tidak bersenjata di pusat perlindungan, hospital, jalanan dan kawasan kediaman berpenduduk.

Katanya, melalui sistem itu, Israel secara automatik boleh menyasarkan bangunan dan membuat peta untuk mengenal pasti sasaran yang mungkin dan menjalankan pelbagai misi untuk anggota tentera serta pasukan khas.

“Dron ini membunuh puluhan orang awam dengan menembak melalui mesin automatik yang dipasang di bawah pesawat atau dengan menembak terus ke arah orang ramai,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia itu juga menerima laporan mengenai pembunuhan dua rakyat Palestin selepas dron kecil Israel melepaskan tembakan ke arah sekolah pelarian berhampiran sekolah Al Awda, timur Khan Yunis.

Menurutnya, dron kecil Israel juga melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang berkumpul untuk menerima bekalan makanan dibawa trak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Susulan itu, seramai 50 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera ketika kejadian 11 Januari lalu itu.