Israel bebaskan banduan tertua Palestin
Baitulmaqdis: Israel membebaskan banduan Palestin tertua, selepas 17 tahun menjalani hukuman penjara kerana penyeludupan senjata.
Menurut jurucakap Kelab Tahanan Palestin yang disahkan anaknya, Shubaki Hazem, bapanya Fuad Shubaki, 83, dibebaskan dari penjara Ashkelon dan dalam perjalanan ke Ramallah, Tebing Barat, lapor Harian Metro.
Ketika Shubaki tiba di Ramallah iaitu di makam bekas pemimpin Palestin Yasser Arafat, pegawai Palestin berasak-asak untuk mendekati lelaki itu yang berselimutkan keffiyeh Palestin.
Kanak-kanak kecil mengibarkan bendera gerakan Fatah, manakala wanita dengan bangga memakai baju-T dengan cetakan wajah Shubaki ketika waktu muda.
Turut hadir ialah Naib Presiden Fatah, Mahmoud Aloul dan Tawfiq Tirawi, dua tokoh yang sering disifatkan sebagai pengganti presiden Palestin Mahmud Abbas.
Shubaki berikrar untuk meneruskan perjuangan Yasser.
“Kami akan mengikuti jalan yang Yasser Arafat tunjukkan untuk kami.
“Kami akan meneruskan penentangannya tidak kira apa yang terjadi.
“Nyawa kami tidak berharga apabila ia datang ke tanah air kami, rakyat kami dan mereka yang syahid,” katanya.
Anggota kanan pergerakan Fatah itu ditangkap pasukan keselamatan Palestin pada 2002 pada kemuncak intifada kedua.
Tambah laporan Harian Metro, beliau dituduh kerana cuba menyeludup senjata dari Iran ke pantai Gaza di atas kapal Karine A, yang dirampas Israel di Laut Merah.
Tentera Israel mendakwa kapal itu membawa 50 tan senjata, termasuk roket Katyusha jarak dekat, peluru berpandu antikereta kebal dan bahan letupan dari Iran dan pergerakan Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan.
Dia ditahan oleh Pihak Berkuasa Palestin di bandar Jericho di Tebing Barat.
Pada tahun 2006, penjara itu diserang tentera Israel dan Shubaki dibawa ke Israel dan dibicarakan di mahkamah tentera.
Dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun yang kemudiannya dikurangkan kepada 17 tahun.