WhatsApp Image 2024-05-02 at 11.26.06 AM
Uncategorized @ms

Ikan mati secara besar-besaran di Vietnam disebabkan gelombang haba

Beratus ribu ikan mati dalam takungan di wilayah Dong Nai di selatan Vietnam disebabkan oleh gelombang panas dan pengurusan tasik yang teruk.

Seperti kebanyakan di Asia Tenggara di mana sekolah terpaksa ditutup awal dan penggunaan elektrik semakin meningkat, di selatan dan tengah Vietnam juga semakin teruk akibat haba yang terlalu tinggi.

Menerusi laporan Berita Harian, sumber menunjukkan penduduk mengharungi dan menaiki bot melalui takungan Song May seluas 300 hektar, dengan air hampir tidak kelihatan berikutan hidupan marin yang mati.

Menurut laporan media lain, kawasan itu tidak mengalami hujan selama berminggu-minggu dan air di dalam takungan terlalu cetek.

Penduduk tempatan, Nghia, berkata pengurusan takungan sebelum ini sudah mengeluarkan air untuk cuba menyelamatkan tanaman di hilir.

“Mereka kemudian cuba mengubah suai takungan itu, membawa masuk pam untuk mengeluarkan lumpur supaya ikan mempunyai lebih banyak ruang dan air.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak membuahkan hasil, dan tidak lama selepas itu banyak ikan mati,” katanya dengan laporan media tempatan mencadangkan sebanyak dua ratus tan metrik mungkin sudah musnah.

Akhbar Tuoi Tre melaporkan bahawa firma yang bertanggungjawab menguruskan tasik itu mula mengorek pada awal 2024 dan merancang untuk melepaskan air tambahan ke dalam takungan untuk ikan itu.

“Tetapi disebabkan gelombang haba yang tidak henti-henti, pelabur melepaskan air ke kawasan hilir, menyebabkan paras air turun. Akibatnya, ikan mati terlalu banyak” lapor akhbar itu.

Takungan itu adalah sumber air untuk tanaman di daerah Trang Bom dan Vinh Cuu di wilayah Dong Nai.

Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu, sambil berusaha mengeluarkan ikan mati dengan cepat.

Menurut ramalan cuaca, suhu di wilayah Dong Nai, 100 kilometer barat Bandaraya Ho Chi Minh, mencecah sekitar 40 darjah Celsius pada April, memecahkan rekod suhu tinggi yang dicatatkan pada 1998.

Suhu yang melambung tinggi juga memberi kesan kepada negara jiran Kemboja, di mana paras tertinggi boleh mencecah 43 darjah Celcius.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet mengarahkan sekolah mempertimbangkan penutupan bagi melindungi guru dan pelajar daripada panas, dan meletakkan pegawai bersiap sedia sekiranya berlaku kekurangan air.

Sementara itu, di Thailand, penggunaan elektrik melonjak kepada rekod baharu apabila suhu di wilayah timur laut Udon Thani mencecah 44 darjah Celcius.