Hamas dakwa Netanyahu sekali lagi ‘halang’ gencatan senjata
Kumpulan Hamas semalam, sekali lagi mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ‘menghalang perjanjian’ gencatan senjata dan pertukaran tebusan di Gaza.
Kumpulan pejuang itu menerusi kenyataan selepas pusingan terbaharu rundingan di Qatar, berkata Netanyahu ‘bertanggungjawab sepenuhnya menggagalkan usaha pemudah cara, menghalang perjanjian dan nyawa’ tebusan di Gaza, lapor Berita Harian.
Cadangan itu, katanya, ‘maklum balas terhadap syarat Netanyahu, terutama bantahan beliau ke atas gencatan senjata kekal dan penarikan diri secara menyeluruh dari Semenanjung Gaza serta penegasannya untuk kekal menduduki persimpangan Netzarim, pusat pemeriksaan Rafah dan koridor Philadelphi’.
Israel mendakwa, dua lokasi itu penting bagi mencegah penyeludupan senjata ke Semenanjung Gaza, manakala persimpangan Netzarim terletak di titik strategik antara utara dan selatan Gaza.
“Netanyahu juga menetapkan syarat baharu bagi urusan pertukaran tahanan dan menarik diri daripada beberapa perkara lain yang menghalang penyelesaian perjanjian pertukaran itu,” katanya.
Sementara itu, Hamas turut mengulangi sokongannya terhadap cadangan dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Mei lalu, yang disifatkannya sebagai pelan dikemukakan Israel.
Ia membabitkan perjanjian tiga fasa, bermula dengan gencatan senjata selama enam minggu, diikuti proses pembebasan tebusan dan penarikan diri Israel dari Gaza.
Pegawai Hamas sebelum ini berulang kali mendakwa Netanyahu menghalang perjanjian berkenaan.
AS kelmarin, mengumumkan cadangan kompromi baharu selepas dua hari rundingan antara pemudah cara dari republik itu, Mesir dan Qatar diadakan di Doha.
Bercakap ketika menjelang lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, yang berusaha untuk mencapai perjanjian itu sebelum ini, Netanyahu mengkritik Hamas kerana dianggap ‘degil’ dan tidak menghantar delegasi ke rundingan, selain menyatakan kumpulan pejuang Palestin itu sepatutnya berada di bawah tekanan, bukannya Israel.
Sebelum ini, wakil kanan Hamas, Osama Hamdan, menyifatkan Netanyahu dan kerajaannya tidak bersedia untuk mencapai perjanjian gencatan senjata.
“Orang Israel, dalam rundingan dua hari itu menolak kertas rundingan damai Israel-Hamas yang diperkenalkan oleh AS pada 24 Jun berdasarkan inisiatif Presiden Joe Biden, resolusi Majlis Keselamatan dan juga bertanggungjawab terhadap Israel,” kata pegawai Hamas itu.
Hamdan juga menambah Israel mengisytiharkan dalam pusingan terbaharu rundingan di Qatar bahawa mereka mahu hak untuk kembali berperang, satu syarat yang menurutnya tidak boleh diterima oleh rakyat Palestin.
Mesir, Qatar dan AS sudah mencuba untuk menjadi pengantara gencatan senjata baharu kali ini, sejak pertempuran dihentikan selama seminggu pada November lalu dan menyaksikan 80 tebusan Israel ditukar dengan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Israel membunuh sekurang-kurangnya 40,000 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.
Rejim itu menganggarkan bahawa 129 tebusan masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang dikatakan tentera sudah mati.
Hamas sebelum ini menegaskan untuk gencatan senjata kekal, namun ia ditolak Israel.