GUNUNG BERAPI TAAL BERSEDIA UNTUK MELETUS
MANILA, 23 Jan – Gunung berapi Taal berisiko tinggi akan meletus berikutan terdapat kesan pergerakan magma yang baharu selain peningkatan pelepasan gas toksik.
Pengarah Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), Renato Solidum, berkata gempa bumi masih berlaku di persekitaran gunung berapi itu, yang memuntahkan awan debu sejak 12 Januari lalu.
“Peningkatan kadar pelepasan gas menunjukkan magma di dasarnya sedang meraih tenaga serta bertambah dan jika sampai ke kawah gunung berapi, akan berlaku letusan yang kuat,”
Pihak berkuasa menetapkan zon larangan dalam lingkungan 14 kilometer (km) di sekeliling gunung berapi itu berikutan ramalan pakar bahawa letusan akan mengakibatkan hujan batu dan magma selain risiko berlaku tsunami di tasik berhampiran.
Premis perniagaan di pusat pelancongan Tagaytay yang dibenarkan beroperasi semula minggu lalu apabila gunung berapi terletak 70 km dari Manila itu mula tenang, kini diarah tutup semula.
Dengan ketinggian hanya 311 meter, Taal adalah antara gunung berapi aktif terkecil di dunia tetapi berbahaya kerana pernah mengorbankan lebih 1,300 orang dalam letusan pada 1911.
Setakat ini, lebih 100,000 orang meninggalkan kediaman masing-masing di sekitar gunung berapi itu dan berpindah ke pusat lindungan selepas rumah, sekolah dan ladang diselimuti debu.
Taal sudah meletus lebih 30 kali dalam tempoh lima kurun lalu, terbaru pada 1977. Filipina berada dalam kawasan ‘Lingkaran Api’ iaitu rangkaian gunung berapi melingkari Lautan Pasifik, yang turut menghadapi risiko gempa bumi yang tinggi.
Sumber: Berita Harian