Gaza: Bantuan tiba di Jabalia untuk kali pertama dalam beberapa bulan
Bandar di utara Gaza, Jabalia menerima penghantaran bantuan pertamanya dalam tempoh kira-kira empat bulan.
Ini selepas tentera Israel membenarkan sembilan trak yang dimuatkan dengan bantuan kemanusiaan memasuki wilayah utara Semenanjung Gaza, termasuk Jabalia, Beit Hanoun dan Beit Lahiya, lapor Sinar Harian memetik laporan Agensi Anadolu.
Bantuan yang terdiri daripada tepung, beras, makanan dalam tin dan gula itu sampai ke kem pelarian Jabalia di bawah pengawasan perkhidmatan keselamatan kerajaan Gaza dengan kerjasama masyarakat setempat.
Bantuan itu kemudiannya disimpan di gudang yang diuruskan oleh Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 27 individu di Gaza telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi disebabkan kepungan Israel.
Lebih 31,600 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh di Gaza manakala hampir 73,700 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel sejak Sejak 7 Oktober lepas.