ENAM MAUT AKIBAT SERANGAN REJIM SYRIA
ATAREB: Enam terkorban termasuk seorang kanak-kanak dalam kebakaran di hospital akibat serangan rejim Syria di kubu pemberontak utama di wilayah Idlib, pada Ahad lalu.
Serangan di bandar barat laut bandar ini, walaupun Russia-Turki bersetuju melakukan gencatan senjata sejak awal bulan ini, bagi menghalang krisis kemanusiaan di wilayah berkenaan berlanjutan.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan itu menghentam halaman dan pintu masuk utama hospital hingga menyebabkan enam orang awam termasuk seorang kanak-kanak dan seorang pekerja hospital terbunuh, manakala 11 lagi cedera.
Semalam juga, serangan senjata berat itu juga membunuh dua orang awam di bandar Aleppo yang dikuasai rejim, di luar kubu pemberontak, menurut agensi berita negara SANA.
Wilayah Idlib diduduki 2.9 juta orang, di mana dua pertiga telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik, menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Semalam, Russia melancarkan serangan udara ke sebuah kilang gas berhampiran bandar Sarmada berhampiran sempadan Turki, menurut pemantau perang.
Pegawai kanan kemanusiaan PBB, Mark Cutts menyifatkan serangan di hospital itu sebagai ‘membimbangkan’, sementara Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa juga mengecam kejadian itu.
“Kemudahan kesihatan dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan harus menjadi tempat perlindungan yang selamat pada masa krisis,” kata Pengarah IRC untuk barat laut Syria, Rehana Zawar.
Kemudahan perubatan beberapa kali diserang pihak yang bertelagah di wilayah Idlib.
Antara tahun 2016 dan 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendokumentasikan hingga 337 serangan ke atas bahagian kesihatan di barat laut Syria.
Perang saudara itu sudah mengorbankan lebih dari 388,000 orang dan berjuta-juta orang di dalam dan luar negara hilang tempat tinggal sejak tahun 2011 dengan penindasan kejam terhadap tunjuk perasaan antikerajaan.
70 peratus pekerja kesihatan pula melarikan diri dari Syria sejak awal konflik, sementara selepas bertahun-tahun pengeboman hanya 58 peratus hospital berfungsi sepenuhnya, menurut PBB.
Sumber : Berita Harian