Info SemasaKenyataan Media

WARGA PALESTIN TERBUNUH DALAM PERTEMPURAN DENGAN TENTERA ISRAEL

BAITULMAQDIS: Seorang rakyat Palestin terbunuh awal pagi ini ketika pertempuran dengan tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki, kata Kementerian Kesihatan dan tentera Israel.

Saddam Bani Odeh, 26, meninggal dunia di hospital akibat terkena tembakan di paru-paru berikutan pertempuran di jalan raya ke bandar utara Tubas, kata kementerian itu.

Sementara itu, tentera Israel menyatakan pihaknya menjalankan operasi semalaman untuk menangkap dua ‘suspek’ di Tubas.

Katanya, ketika kejadian, peluru hidup dilepaskan ke arah tenteranya dan bahan letupan dilemparkan dari kenderaan yang melalui jalan itu.

“Tentera membalas dengan tembakan ke arah kenderaan yang mencurigakan itu,” kata kenyataan tentera sambil menambah tiada tenteranya cedera tetapi tentera ‘ada laporan memaklumkan seorang warga Palestin terbunuh’.

Pertempuran kerap berlaku di Tebing Barat apabila tentera Israel memasuki bandar yang ditadbir Palestin untuk membuat penahanan atau selepas tunjuk perasaan.

Tidak termasuk timur Baitulmaqdis timur, kira-kira 475,000 warga Israel tinggal di penempatan di Tebing Barat yang dianggap sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa bersama lebih 2.8 juta rakyat Palestin.

Sumber: Berita Harian