WANITA PAKISTAN AGIH MAKANAN PERCUMA SETIAP HARI
ISLAMABAD – Situasi ekonomi merudum akibat Covid-19 sedikit pun tidak melemahkan semangat seorang wanita di Pakistan menyediakan makanan percuma kepada golongan kurang berkemampuan.
Rukhsana Izhar, 58, prihatin dengan nasib golongan memerlukan dengan meneruskan aktiviti amalnya yang dilakukanya sejak 30 tahun lalu.
Di pintu kediamannya di Bandar Johar, tertera nota bertulis: “Tiada siapa tidur dalam kelaparan. Makanan tersedia 24 jam.”
Memetik Gulf News, Rukhsana berkata, selepas kemunculan wabak itu, rakan serta anaknya meminta kerja amal itu ditangguhkan seketika sehingga wabak berakhir, namun dia membuat keputusan sebaliknya dengan meneruskan aktiviti seperti sedia kala.
“Koronavirus memberi kesan yang tidak boleh digambarkan kepada kehidupan orang miskin.
“Ratusan pengawal keselamatan, jurujual, pembantu dan pekerja miskin yang bekerja di bilik pameran, pasar raya, pusat perniagaan, bank dan pejabat swasta semua hilang kerja.
“Tiada siapa beri mereka atau keluarga mereka makan,” katanya.
Katanya, menyedari hakikat itu, dia membuat keputusan menyediakan lebih 500 bungkus makanan percuma setiap hari tanpa bantuan kerajaan.
“Saya fikir apa yang mereka buat jika kami hentikan khidmat percuma ini di saat mereka sangat memerlukannya,” katanya.
Katanya, mereka juga mengamalkan langkah pencegahan termasuk menjaga jarak sosial kepada mereka yang mengambil makanan itu.
Sumber: Harian Metro