WhatsApp Image 2023-10-09 at 9.10.53 AM
Info Semasa

Wahai Negara Arab, henti normalisasi hubungan dengan Israel, tegas Serantau Muslim

KUALA LUMPUR : Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor menegaskan agar negara majoriti Islam seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Pakistan, Bangladesh, Turki, Nigeria dan negara-negara bukan Arab sekalipun untuk meningkatkan kesedaran serta pemahaman mengenai isu Al-Aqsa berikutan serangan yang berlaku semalam.

Serangan terbesar Hamas ke atas Israel kelmarin wajar menjadi isyarat kepada negara Arab untuk mempertimbang semula serta menghentikan sebarang usaha menormalisasi atau berkerjasama dengan Israel.

Kesucian tapak keagamaan orang Islam (Masjid Al-Aqsa) dan hak saudara-saudari kita di Palestin mesti sentiasa diutamakan daripada kepentingan politik atau ekonomi.

Suara kolektif negara majoriti Islam juga boleh menjadi kuasa yang kuat.

Umum maklum yang sebelum ini bagaimana Israel diganggu dengan gerakan media sosial dari Malaysia dengan hastag #IsraelKoyak. Jadi, sekali lagi kita boleh menunjukkan sokongan seperti ini.

Dalam pada itu, apa yang dilakukan Hamas bukan satu bentuk keganasan, sebaliknya perjuangan mereka sejak dahulu, bertujuan membebaskan tanah mereka sendiri yang dirampas secara zalim Israel.

“Biarlah naratifnya jelas. Ini bukan tindakan keganasan. Ia adalah perjuangan untuk membebaskan tanah air mereka dan (Al-Aqsa) yang pernah menjadi kiblat kepada masyarakat Islam.

“Kita mesti bersatu di sebalik usaha ini dan memastikan suara kita, secara individu dan kolektif, bergema di seluruh dunia,” katanya sambil menjelaskan bahawa Al-Aqsa mempunyai kepentingan sangat besar sebagai kiblat pertama bagi umat Islam dan tidak boleh dipertikai.

Beliau juga menyatakan sokongannya terhadap operasi ‘Taufan Al-Aqsa’ yang dimulakan oleh Hamas di Gaza.

Kelmarin, Hamas melancarkan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas Israel, dalam tindak balas mengejut yang menggabungkan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza.

Insiden kali ini adalah yang paling serius sejak Israel dan Hamas berperang selama 10 hari pada 2021, dengan media Israel melaporkan pertempuran bersenjata antara kumpulan pejuang Palestin dengan pasukan keselamatan tercetus di bandar-bandar sekitar selatan Israel.

Kementerian Kesihatan di Gaza memberitahu angka kematian di Semenanjung Gaza sudah meningkat kepada 232 orang setakat awal pagi tadi, susulan serangan balas Israel ke atas pejuang Hamas pada subuh semalam, sementara 1,697 orang dengan pelbagai kecederaan.