WhatsApp Image 2024-11-12 at 1.33.07 PM
Uncategorized

UCAPAN PM MALAYSIA DI RIYADH MENCERMINKAN SUARA UMMAH GLOBAL

KENYATAAN MEDIAPERTUBUHAN KEBAJIKAN SERANTAU MUSLIM (SERANTAU MUSLIM)

11 November 2024

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyokong penuh pendirian tegas yang disuarakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh hari ini.

Ucapan beliau yang berani mencerminkan suara sebenar ummah Islam global yang sudah terlalu lama menyaksikan kezaliman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin. Seruan Malaysia untuk mengenakan embargo senjata dan kemungkinan pengusiran Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah langkah yang wajar dan perlu disokong semua pihak.

Seperti yang ditekankan oleh YAB PM, tindakan Israel yang mensasarkan UNRWA adalah cubaan secara langsung untuk melumpuhkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza. Ini bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa tetapi juga prinsip asas kemanusiaan.

Lebih membimbangkan, serangan Israel turut mensasarkan pasukan pengaman PBB di Lubnan yang terdiri daripada hampir 50 negara, termasuk Malaysia. Tindakan mengganas ini jelas menunjukkan Israel tidak menghormati kedaulatan antarabangsa dan sanggup menyerang pasukan pengaman yang bertugas di bawah mandat PBB.

Serantau Muslim menyeru seluruh masyarakat antarabangsa untuk:

  1. Menyokong cadangan embargo senjata terhadap Israel
  2. Mempertimbangkan pengusiran Israel dari PBB
  3. Mempertingkatkan usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza
  4. Mendesak hentian segera serangan ke atas rakyat Palestin
  5. Mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Islam dalam membela nasib Palestin

Kita perlu bertindak sekarang. Seperti kata YAB PM, “Kita mesti menarik garis di pasir, bukan sahaja sebagai umat Islam tetapi sebagai sesama manusia.” Kemanusiaan tidak boleh terus berdiam diri.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
Setiausaha Serantau Muslim