hiasan_tentera_pakistan_-_AFP_1693541024
Info Semasa

Tujuh tentera Pakistan terbunuh, bom meletup kena trak askar

Tujuh tentera Pakistan terbunuh selepas trak yang dinaiki mereka meletup akibat bom yang disasarkan kepada kenderaan askar di barat laut Pakistan semalam.

Dalam laporan Berita Harian, insiden itu berlaku di daerah Lakki Marwat yang terletak di pinggir kawasan bebas tanpa undang-undang di sempadan Pakistan – Afghanistan.

Tentera Pakistan dalam satu kenyataan berkata, bom berkenaan meletup berhampiran kenderaan tentera menyebabkan tujuh askar termasuk seorang pegawai terbunuh.

“Pelaku perbuatan keji ini akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Kawasan yang dikatakan bebas tanpa undang-undang itu sudah lama menjadi tempat selamat bagi gerakan militan yang berpangkalan di kedua-dua belah sempadan.

Gerakan militan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) mencetuskan perang terhadap negara itu bagi menggulingkan kerajaan dan mahu menjadikan Pakistan sebagai sebuah negara Daesh.

Pemimpin TTP dilaporkan berlindung di negara jiran Afghanistan dan mewujudkan kem bagi melatih militan untuk melakukan serangan di Pakistan.

Hubungan antara Pakistan dan Afghanistan merosot sejak akhir-akhir ini.

Pakistan mendakwa Afghanistan tidak serius untuk menangani kumpulan militan yang mahu menyerang Pakistan.