TRAGEDI KEBAKARAN DI KEM ROHINGYA, COX’S BAZAR
SEBAHAGIAN pelarian Rohingya kini membina semula pondok-pondok mereka yang musnah dalam kebakaran besar di kem pelarian etnik itu di Cox’s Bazar, Bangladesh pada Isnin lalu.
Dalam kejadian itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan seramai 15 orang terbunuh, kira-kira 400 lagi masih hilang manakala 560 orang mengalami kecederaan.
Kem pelarian Kutupalong-Balukhali itu terletak bersempadan Myanmar dan menempatkan kira- kira lebih 700,000 pelarian tersebut yang melarikan diri dari kekejaman Tatmadaw yang didakwa melakukan pembersihan etnik Rohingya pada tahun 2017.
Terdapat 26 kem kecil di kem pelarian terbesar di dunia itu dan kebakaran yang bermula pada jam 3 petang (waktu tempatan) tersebut memusnahkan kira-kira 12,000 pondok yang menjadi tempat berteduh golongan terbabit.
Sejumlah pusat kesihatan, pusat makanan, pasar dan kira-kira 140 buah pusat pembelajaran dilaporkan musnah manakala sistem sanitasi turut mengalami kerosakan.
Kira-kira 50,000 pelarian Rohingya hilang tempat tinggal selepas kebakaran itu berjaya dikawal pada pagi Selasa lalu.
Menurut Tabung Kecemasan Kanak-Kanak PBB (UNICEF), lebih 50 kanak-kanak dilaporkan terpisah daripada keluarga masing-masing ketika kejadian itu berlaku.
Berdasarkan laporan, kebakaran itu bermula di salah sebuah daripada 34 kem pelarian yang terletak di kawasan seluas lebih 3,000 hektar.
Ia kemudiannya merebak ke tiga buah lagi kem lain dan memusnahkan ribuan pondok yang diperbuat daripada struktur buluh dan plastik itu.
Susulan insiden itu, sebahagian pelarian terpaksa menumpang di pondok milik saudara-mara mereka atau di pusat perlindungan kecemasan buat sementara waktu.
Wakil Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) turut mengedarkan selimut, lampu, perkakasan untuk memasak manakala Program Makanan Sedunia (WFP) menyediakan makanan panas kepada para pelarian yang terjejas.
Kem itu dikatakan wujud sejak 1991 selepas ribuan etnik Rohingya melarikan diri daripada tentera Myanmar yang melancarkan Operasi Pyi Thaya yang menyasarkan golongan tersebut.
Operasi tersebut bertujuan untuk mengusir warga asing dan tentera Pertubuhan Solidariti Rohingya itu di negeri Rakhine, utara Myanmar.
Saiz kem itu menjadi semakin besar apabila lebih 700,000 pelarian Rohingya melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar yang didakwa melakukan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2017 yang turut dinafikan Penasihat Negara digulingkan, Aung San Suu Kyi hingga menerima kecaman banyak pihak.
Menurut Timbalan Ketua Suruhanjaya Pelarian di Bangladesh, Shamsud Douza kepada AFP, kebakaran itu adalah yang terbesar sejak kebanjiran etnik Rohingya kira-kira empat tahun lalu.
Difahamkan, usaha mengawal kebakaran itu disertai ratusan anggota bomba manakala pekerja bantuan cuba membantu kumpulan pelarian tersebut menyelamatkan diri.
Keadaan agak huru-hara ketika kebakaran itu berikutan ada pelarian Rohingya yang panik kerana terpisah dengan keluarga masing-masing.
Ia merupakan kebakaran terbaharu selepas empat kejadian sama dilaporkan di Cox’s Bazar sejak Januari lalu.
Berikutan itu, kerajaan Bangladesh melancarkan siasatan bagi mengetahui punca kebakaran itu.
Beberapa pegawai juga mengesyaki ia mungkin sengaja dilakukan pihak tertentu kerana insiden kebakaran kerap berlaku di kem terbabit.
Sehingga kini, punca sebenar beberapa kebakaran sebelum ini masih gagal dikenal pasti pihak berkuasa Bangladesh.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu berkata sebanyak 1,337 pondok pelarian yang dibina Ankara musnah dalam kebakaran itu.
Menurut laporan berita Anadolu Agency, pihaknya telah menghantar bantuan bekalan untuk hospital dan kelengkapan mendirikan sebuah hospital lapangan di kem pelarian itu.
Jelas Soylu, penghantaran itu dibuat atas arahan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang sentiasa menzahirkan solidariti dengan golongan tersebut.
Seramai 22 kakitangan daripada Kementerian Kesihatan Turki, Pentadbiran Perumahan dan Pembangunan serta Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan negara itu turut dihantar untuk membantu mereka berdepan saat getir.
Sebelum kebakaran dahsyat itu, hospital lapangan Turki merupakan pusat perubatan yang terbesar di kem tersebut.
Selain Turki, beberapa agensi kemanusiaan turut menggerakkan usaha bagi memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran itu yang kini tinggal sehelai sepinggang.
Sumber: Sinar Harian