WhatsApp Image 2024-02-27 at 9.58.04 AM (1)
Uncategorized

Tentera Israel usul pelan pengusiran rakyat Palestin di Gaza

Tentera Israel hari ini mengemukakan pelan pengusiran orang awam dari Semenanjung Gaza, selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyatakan pencerobohan darat ke atas Rafah adalah perlu demi kemenangan penuh.

Kerajaan asing dan pertubuhan bantuan berulang kali menyatakan kebimbangan operasi itu akan mengorbankan lebih ramai orang awam di Rafah, di mana kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin sedang berlindung, lapor Berita Harian.

Ia juga adalah lokasi pintu masuk untuk bantuan yang sangat diperlukan, melalui negara jiran, Mesir.

Satu kenyataan dalam bahasa Ibrani daripada pejabat Netayahu, hari ini menyatakan, tentera Israel ‘membentangkan pelan kepada Kabinet Perang untuk memindahkan penduduk dari kawasan pertempuran di Semenanjung Gaza serta rancangan operasi yang akan datang’.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran bagaimana atau ke mana orang awam itu akan dipindahkan.

Pengumuman itu dibuat selepas rundingan pakar Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) bertemu di Doha, yang turut dihadiri oleh wakil Israel dan Hamas.

Ia dilaporkan media Mesir sebagai usaha terbaharu untuk mencapai gencatan senjata sebelum bulan suci Ramadan.

Sekutu Israel, AS berkata, usaha perdamaian yang berterusan itu menghasilkan ‘persefahaman’ ke arah gencatan senjata dan pembebasan tebusan, manakala sumber Hamas pula berkata, kumpulan itu mendesak pengunduran tentera Israel.

Namun sebaliknya bagi Netanyahu yang berkata, serangan darat ke atas Rafah akan meletakkan Israel ‘kemenangan penuh’ ke atas Hamas dalam beberapa minggu ini.

“Jika kita mempunyai perjanjian (gencatan senjata), ia akan tertangguh sedikit, tetapi ia akan berlaku.

“Ia perlu dilakukan kerana kemenangan penuh adalah matlamat kami dan kemenangan keseluruhan dapat dicapai – bukan beberapa bulan lagi, beberapa minggu lagi, tetapi sebaik sahaja kami memulakan operasi,” katanya mengenai serangan itu dalam temubual dengan CBS, semalam.

Di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, agensi bantuan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk rakyat Palestin, UNRWA menggesa tindakan politik bagi mengelak kebuluran di Gaza.

Ketua agensi UNRWA, Philippe Lazzarini, berkata kekurangan makanan yang buruk di utara Gaza adalah ‘bencana buatan manusia’ yang boleh dikurangkan.

“Kebuluran masih boleh dielakkan melalui kemahuan politik yang tulen untuk memberikan akses dan perlindungan kepada bantuan yang bermakna,” katanya.

PBB juga mengesahkan, mereka kini menghadapi sekatan, terutamanya dalam penghantaran bantuan ke utara Gaza.

Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan memberitahu CNN, rundingan Doha akan berlangsung susulan pertemuan di Paris, tanpa kehadiran pemimpin Hamas.

“Persefahaman di antara empat negara mengenai asas perjanjian tebusan untuk gencatan senjata sementara,” katanya.

Sementara itu, sumber Hamas memberitahu AFP ‘beberapa pindaan baharu’ sudah dicadangkan tetapi Israel tidak mengemukakan sebarang pendirian substantif mengenai syarat gencatan senjata dan pengunduran dari Semenanjung Gaza.

Ia susulan kenyataan Netanyahu yang menolak permintaan untuk pengunduran tentera dengan berkata ia sebagai ‘khayalan’.

Ketika ini, keluarga rakyat Palestin di utara Gaza terpaksa mengais makanan disebabkan pertempuran yang turut menghentikan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Seorang wartawan AFP berkata, ratusan rakyat Palestin menuju ke selatan dan berjalan menyusuri jalan-jalan di antara bangunan yang dibom.

Di Jabalia di utara Gaza, seorang pelarian Marwan Awadieh berkata kawasan itu ‘sudah tidak dapat didiami sama sekali’.