TENTERA ISRAEL TEMBAK MATI REMAJA PALESTIN
RAMALLAH: Tentera Israel menembak mati seorang remaja Palestin di Tebing Barat semalam.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Said Youssef Muhammad Oudeh, 16, ditembak menggunakan peluru hidup oleh tentera Israel dekat Odla berhampiran Nablus.
Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan sudah menguruskan mayat remaja terbabit, selain memaklumkan seorang lagi remaja parah dan kini menerima rawatan di hospital selepas terkena tembakan.
Sementara itu, tentera Israel berkata anggotanya dilempar dengan bom api ketika menjalankan operasi rutin dekat selatan Nablus.
“Anggota tentera bertindak menghentikan perbuatan suspek dengan melepaskan tembakan ke arah mereka,” katanya selain memaklumkan tiada anggotanya yang cedera dalam kejadian itu.
Tentera Israel kini melakukan pemburuan besar-besaran di utara Tebing Barat bagi mengesan rakyat Palestin yang melepaskan tembakan dan mencederakan tiga rakyat Israel pada Ahad.
Penyerang terbabit didakwa melarikan diri selepas melepaskan tembakan ke arah stesen bas dekat persimpangan Tapuah, selatan Nablus.
Tentera Israel memaklumkan pihaknya berhasil menemui kenderaan digunakan dan menahan beberapa suspek.
Sumber: Berita Harian