WhatsApp Image 2024-02-08 at 8.49.49 AM (1)
Uncategorized

Tentera Israel siasat dakwaan tembak mati warga sendiri

Israel memulakan siasatan kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang oleh tenteranya semasa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Memetik laporan Berita Harian, ia berikutan laporan beberapa orang awam Israel mungkin terbunuh akibat tembakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sendiri dalam pertempuran itu.

Siasatan tertumpu kepada insiden di Kibbutz Be’eri, antara komuniti paling teruk terjejas, di mana kereta kebal membedil sebuah rumah, membunuh 12 tebusan Israel yang ditahan pejuang Hamas.

Ia berkata, siasatan ditangguhkan sebelum ini kerana perang masih berlangsung, namun kini pertempuran semakin berkurangan dan komander tentera merasakan sudah tiba masanya untuk siasatan.

Perkara itu disahkan oleh cabang media IDF dalam satu kenyataan bahawa siasatan sedang berlaku, tanpa memberikan ulasan atau butiran lanjut.

“IDF sedang mengendalikan Mekanisme Pencarian Fakta dan Penilaian (FFAM) untuk meneliti laporan dan aduan mengenai pencabulan undang-undang Israel dan antarabangsa semasa pertempuran,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu berkata, misi mencari fakta itu pada peringkat awal tetapi penyiasat sudah mula mengumpul bahan.

Sebaik sahaja siasatan selesai, semua bahan akan diserahkan kepada pejabat Ketua Peguambela Tentera, yang akan memutuskan sama ada terdapat alasan untuk membuka siasatan polis tentera.

Ditanya mengenai tragedi Be’eri, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, tentera masih menumpukan pada pertempuran di Gaza tetapi sedang melakukan siasatan.

Beliau berkata, 31 daripada baki tebusan yang ditahan di Gaza disahkan meninggal dunia dan sudah memaklumkan kepada 31 keluarga mangsa, bagaimanapun 136 tebusan masih ditahan di Gaza.

Media Israel sebelum ini melaporkan, saksi melihat sebuah kereta kebal melepaskan tembakan ke arah sebuah rumah di mana lelaki bersenjata menahan 12 tebusan warga Israel di Be’eri.

Akibat tindakan itu, ia menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kesediaan tentera Israel ketika menghadapi serangan pejuang Hamas.

Ketua Staf Am, Jeneral Herzi Halevi, berkata ia akan menjadi satu perjalanan yang sukar, merujuk kepada siasatan lebih luas dan kegagalan keselamatan sebelum serangan Hamas.

“Kami akan muncul sebagai pasukan lebih baik lagi kukuh daripada pengalaman ini, seperti mana yang kami amat perlukan sekarang,” katanya.