Tentera Israel serang jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa
BAITULMUQADDIS: Pasukan keselamatan Israel dilaporkan menyerang jemaah Palestin semasa serbuan di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis.
Ia merupakan serangan keempat dalam tempoh beberapa hari ketika kumpulan berhaluan kanan pro-pendatang Yahudi bersiap sedia melakukan perarakan di Kota Lama Baitulmuqaddis.
Memetik laporan Middle East Eye, pasukan keselamatan Israel melepaskan peluru logam bersalut getah ke arah jemaah Palestin dan mengunci mereka di dewan solat.
Mereka juga mengepung wanita di hadapan Masjid Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) dan mengusir penduduk Palestin secara paksa yang berkumpul di pekarangan masjid bagi memberi laluan kepada penduduk Yahudi.
“Penduduk Yahudi kemudian memasuki pekarangan masjid secara berkumpulan di bawah perlindungan ketat polis dan melakukan upacara keagamaan perayaan Paskah Yahudi,” jelas laporan itu.
Insiden ketika Ramadan itu juga merupakan serbuan kelima dalam tempoh sebulan.
Sebelum ini, kumpulan berhaluan kanan pro-pendatang Yahudi dan penduduk Israel memaklumkan akan menyerbu Masjid Al-Aqsa secara beramai-ramai, bermula Ahad lalu yang menandakan perayaan Paskah Yahudi.
Sumber: Utusan