Tentera Israel lancar operasi di Tebing Barat, lebih 40,000 maut di Gaza
Tentera Israel pada awal pagi semalam melancarkan operasi di utara Tebing Barat yang diduduki pula, ketika angka kematian penduduk Gaza melepasi 40,000 mangsa.
“Pasukan keselamatan kini melancarkan operasi untuk ‘membanteras keganasan’ di Jenin dan Tulkarm,” kata jurucakap tentera, Avichay Adraee dalam satu kenyataan bersama di Telegram dengan perkhidmatan keselamatan Israel, Shin Bet.
Memetik laporan Berita Harian bersumberkan Al- Jazeera, terdapat kira-kira 50 serangan udara Israel di Tebing Barat sejak peperangan di Gaza bermula 7 Oktober lalu, kebanyakannya di Tulkarem, Jenin dan Nablus.
Sumber perubatan memberitahu Al-Jazeera bahawa mereka telah menerima mayat dan bahagian badan lima rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Nur Shams.
Pasukan Israel cuba menyasarkan Abu Shuja’a, salah seorang pemimpin, jika bukan pemimpin utama, bagi batalion pejuang di Tulkarem dan Nur Shams, namun beliau telah selamat daripada beberapa percubaan membunuhnya.
Dalam operasi terbaharu di Gaza, tentera Israel melakukan tiga serangan dalam tempoh 24 jam lalu, mengakibatkan 41 penduduk Palestin terkorban dan mencederakan 113 yang lain, menurut sumber perubatan.
Menurut sumber yang sama, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat menjangkau jumlah mangsa dan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau bergelimpangan di jalan raya di seluruh kawasan konflik.
Ini kerana pasukan tentera Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan kru pertahanan awam melakukan kerja menyelamat.
Serangan terbesar di Deir el-Balah di tengah Gaza and Khan Younis di selatan setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 20 mangsa pagi tadi, menurut laporan Al-Jazeera.
Pengarah Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya mengatakan bahawa Israel menafikan bekalan bahan api kepada sektor perubatan dengan tujuan memusnahkan operasinya.
Sekurang-kurangnya 40,476 orang telah terbunuh dan 93,647 cedera dalam perang Israel terhadap Gaza akibat serangan Israel sejak 7 Oktober, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Daripada jumlah yang terbunuh itu, 18.4 peratus adalah wanita dan 33 peratus atau hampir 17,000 adalah kanak-kanak.
Sekurang-kurangnya 53 kanak-kanak terbunuh setiap hari sejak 7 Oktober, dan purata 72 lelaki dan wanita terbunuh dalam serangan Israel, setiap hari.
Sekurang-kurangnya 10,000 orang masih hilang di bawah runtuhan, kebanyakannya dipercayai telah meninggal dunia.
Sementara itu, tentera Israel berkata seorang tebusan diselamatkan pada Selasa dari sebuah terowong di Gaza, lebih 10 bulan selepas lelaki Bedouin Israel itu diculik semasa serangan Hamas yang mencetuskan peperangan pada 7 oktober lalu.
Mereka menemui Kaid Farhan Alkadi, 52, bersendirian di dalam terowong di selatan Gaza, walaupun penilaian sebelum ini menunjukkan bahawa ada pejuang Hamas dan bahan letupan di situ.
Beliau adalah salah seorang daripada 251 mangsa yang diculik oleh pejuang Hamas semasa serangan 7 Oktober di selatan Israel, yang mana 104 masih ditahan di Gaza termasuk 34 yang dikatakan telah meninggal dunia oleh tentera.
Pada masa sama, rundingan gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan diteruskan di Qatar, kata seorang pegawai Amerika Syarikat (AS), tanpa pembabitan Israel atau Hamas setakat ini.