Screenshot 2024-06-11 162333
Info Semasa

Tentera Israel bunuh 4 rakyat Palestin dalam serbuan di Tebing Barat

Polis sempadan Israel membunuh empat rakyat Palestin, dengan melepaskan tembakan ke arah kenderaan mangsa di Tebing Barat semalam.

Pasukan keselamatan itu, berkata pihaknya tiba di sebuah bangunan untuk menahan mangsa daripada cubaan melakukan serangan, lapor Berita Harian.

“Ketika menghampiri bangunan itu, empat suspek cuba melarikan diri dengan menaiki kenderaan dan melanggar pegawai keselamatan.

“Anggota keselamatan melepaskan tembakan dan membunuh semua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Agensi berita rasmi Palestin WAFA, berkata tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan berhampiran sebuah kampung di luar bandar Ramallah.

Ia melaporkan bahawa tentera Israel kemudian memasuki kampung itu dan lapan orang cedera ketika pertempuran.

Keganasan di Tebing Barat, yang sudah meningkat sebelum perang di Gaza, menjadi bertambah teruk dengan peningkatan serangan tentera Israel, keganasan penceroboh dan serangan jalanan di Palestin.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Palestin di bawah pentadbiran Hamas berkata, sekurang-kurangnya 37,084 orang terbunuh di wilayah Palestin sejak perang dengan Israel meletus pada Oktober tahun lalu.

Katanya, angka itu termasuk 274 kematian dalam serangan tentera Israel pada Sabtu lalu di kem pelarian Nuseirat yang mana empat tebusan berjaya diselamatkan.

Daripada jumlah itu, seramai 64 orang terbunuh membabitkan remaja dan kanak-kanak, manakala kira-kira 57 wanita dan 37 warga emas turut terkorban di kem pelarian berkenaan.

Menurut kementerian itu, seramai 698 orang cedera akibat serangan terbabit termasuk 153 kanak-kanak, 161 wanita dan 54 warga emas Palestin.