TAUFAN VAMCO BADAI FILIPINA, 6 MAUT, 180,000 DIPINDAHKAN
MANILA: Sekurang-kurangnya enam terbunuh dan 10 lagi dilaporkan hilang selepas Taufan Vamco membadai Filipina pada malam Rabu, kata stesen televisyen tempatan.
Memetik pihak berkuasa polis negara itu, CNN Filipina melaporkan dua mangsa masing-masing berusia 68 dan 78 antara yang terbunuh.
Lebih 180,000 penduduk dipindahkan akibat taufan itu. Sebelum ini Taufan Goni memusnahkan banyak penempatan kira-kira 10 hari lalu.
Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizikal dan Astronomi Filipina (PAGASA), Taufan Vamco atau dikenali Ulysses di Filipina, menyamai taufan kategori 2.
Kali pertama taufan itu berlaku di Patnanungan, Quezon, sekitar jam 11 malam waktu tempatan, kemudian menghala ke barat mengakibatkan bencana kedua di Luzon.
Menurut PAGASA, ribut itu mengakibatkan banjir dan kenaikan paras air dua hingga tiga meter. Agensi itu turut memberi amaran hujan berkenaan boleh menyebabkan tanah runtuh.
Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, berkata kesan ribut menyebabkan sebahagian tengah bandar Luzon musnah yang menjejaskan kira-kira 1.6 juta penduduk sama seperti Taufan Goni.
Taufan Vamco adalah ribut kelima yang memberi kesan kepada Filipina dalam masa hanya kira-kira tiga minggu.
“Kami bimbang dengan nasib 240,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat Taufan Goni terutama mereka yang tinggal di pusat perlindungan sementara di sepanjang pantai ketika ribut baharu melanda,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah dana kecemasan kerajaan tempatan sudah habis disebabkan pandemik COVID-19.
Saintis memberi amaran perubahan iklim menjadikan ribut seperti itu semakin buruk.
Menerusi kajian yang diterbitkan pada Mei mengatakan terdapat bukti jelas bahawa taufan, ribut dan taufan tropika di seluruh dunia menjadi lebih kuat dan berpotensi lebih mengakibatkan korban ketika bumi semakin panas akibat krisis iklim.
Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Eduardo Año yang dipetik Philippine News Agency (PNA) berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan di seluruh Luzon, terutama di daerah terjejas seperti Cainta, Montalban, dan San Mateo di Rizal dan Metro Manila, khususnya di Kota Marikina, yang terkesan akibat banjir.
Lebih 25,000 anggota polis dikerahkan untuk membantu menangani banjir, menurut PNA.
Laporan situasi dari pusat arahan menunjukkan 411 kawasan dilaporkan banjir, 519 kawasan tanpa elektrik dan 104 kawasan terputus telekomunikasi, kata Ketua Polis Nasional Filipina, Jeneral Debold Sinas kepada PNA.
Sumber: Berita Harian