Syarikat Mesir kenakan ribuan dolar bantu mangsa perang keluar Gaza
Syarikat Mesir dan orang tengah didakwa kenakan bayaran ribuan dolar untuk bantu mangsa perang dalam senarai perjalanan yang diluluskan bagi menyeberangi sempadan meninggalkan Gaza.
Buat masa sekarang, satu-satunya cara bagi penduduk Gaza untuk melarikan diri daripada kengerian perang antara Israel dengan Hamas ialah dengan meninggalkan wilayah terbabit melalui negara jiran, Mesir, lapor Berita Harian.
Namun, ia biasanya rumit dan mahal, membabitkan pembayaran beribu-ribu dolar kepada syarikat Mesir yang boleh membawa rakyat Palestin, sekiranya nama mereka ada dalam senarai perjalanan diluluskan, untuk menyeberangi sempadan.
Susulan bayaran tinggi dan kebuluran yang meluas di Gaza berikutan serangan tanpa henti Israel, ramai rakyat Palestin berusaha untuk mengumpul wang dengan merayu di pentas digital, seperti GoFundMe.
Sepanjang lapan bulan lalu, dianggarkan 100,000 orang telah meninggalkan Gaza, kata duta Palestin ke Mesir, Diab al-Louh, dalam satu wawancara.
Walaupun ada yang berjaya keluar melalui hubungan dengan pertubuhan atau pemerintah asing, bagi kebanyakan penduduk Gaza, usaha untuk keluar dari wilayah itu hanya boleh dilakukan melalui Hala, sebuah firma yang berkait rapat dengan pemerintah Mesir.
Kini, masa depan laluan itu tidak pasti, terutama selepas tentera Israel melancarkan serangan terhadap Hamas di Rafah dan mengambil alih laluan itu, sekali gus membawa kepada penutupannya pada Mei.
Tiada warga Gaza dibenarkan melaluinya sejak itu, dan tidak jelas bila ia akan dibuka semula.
Lebih 20 orang dari dalam dan di luar Gaza, sama ada cuba meninggalkan wilayah itu atau membantu ahli keluarga atau rakan untuk berbuat demikian, telah berkongsi cerita.
Semua, kecuali seorang bercakap dengan syarat enggan namanya disiarkan kerana bimbangkan tindakan balas oleh pihak berkuasa Mesir terhadap mereka, saudara atau rakan mereka.
Laluan lain untuk keluar dari Gaza wujud, tetapi kebanyakannya memerlukan pembayaran yang agak besar.
Satu laluan adalah dengan membayar orang tengah tidak rasmi di Gaza atau di Mesir, yang menuntut AS$8,000 (RM37,716) hingga AS$15,000 (RM70,717) setiap orang.
Ia sebagai pertukaran untuk mengatur pelepasan mereka dalam beberapa hari, dedah empat rakyat Palestin yang sama ada sudah membuat pembayaran atau cuba melakukannya.
Rakyat Palestin yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan dan pemerintah antarabangsa, pemegang pasport atau visa asing, mereka yang cedera dan beberapa pelajar yang mendaftar di universiti di luar Gaza, telah dapat pergi tanpa bayaran besar.
Namun, bagi kebanyakan penduduk Gaza, yang sebelum perang berjumlah lebih dua juta orang, tidak termasuk di bawah kategori tersebut.
Syarikat Hala mengenakan bayaran AS$5,000 (RM23,572) untuk membawa keluar individu berumur 16 tahun ke atas.
Bayaran AS$2,500 (RM11,786) dikenakan untuk kebanyakan mereka yang berumur bawah 16 tahun, kata tujuh orang yang telah melalui proses berkenaan atau sedang cuba melakukannya.
Pegawai di syarikat Hala tidak menjawab soalan yang dihantar melalui e-mel.
Bagaimanapun, usahawan Mesir, Ibrahim al-Organi, dari firma Kumpulan Organi, yang menyenaraikan syarikat Hala sebagai salah satu syarikatnya dan juga sebagai pemegang saham, menafikan syarikat itu mengenakan bayaran sebanyak itu.
Beliau menegaskan kanak-kanak tidak dikenakan bayaran dan orang dewasa membayar AS$2,500 (RM11,786).
Beliau berkata jumlah itu perlu kerana perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat Hala bersifat ‘VIP’ dan memberi alasan bahawa kos operasi telah meningkat semasa perang.
Organi, hartawan yang mempunyai sejarah membantu pemerintah Mesir memerangi pelampau di Semenanjung Sinai, mengekalkan hubungan rapat dengan pegawai tertinggi Mesir.
Perkara itu dimaklumkan tiga sumber yang menjejaki rangkaian hubungan terbabit dan bercakap dengan syarat nama mereka tidak disiarkan bagi melindungi tugas mereka di dalam wilayah itu.