WhatsApp Image 2024-10-28 at 10.36.03 AM
Aktiviti SMInfo Semasa

Serantau Muslim, Kerajaan Negeri Selangor rangka perbincangan jalin kerjasama erat

SHAH ALAM, 17 Oktober 2024 – Serantau Muslim (SM) telah mengadakan pertemuan dengan YB Anfal Shaari, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, di sebuah hotel di Shah Alam. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan pelbagai inisiatif kebajikan yang disasarkan kepada golongan pelarian dan asnaf di negeri Selangor.

Dalam pertemuan tersebut, Serantau Muslim yang diwakili oleh Pengerusinya, Kapten Bersekutu (PA) Ustaz Mohd Hakim bin Haji Mohd Nor, mengangkat isu bantuan untuk pelarian yang merangkumi sokongan dalam bidang pendidikan, kebajikan, serta pengukuhan rohani. Kapten Bersekutu (PA) Ustaz Mohd Hakim turut menekankan kepentingan pendidikan Al-Quran, solat, dan amalan infaq dalam kalangan penerima bantuan, dengan matlamat jangka panjang untuk membantu mereka berubah dari asnaf kepada pembayar zakat.

“Kami mahu memberi mereka lebih dari sekadar bantuan sementara. Dengan mendidik dan membimbing mereka dalam aspek rohani dan ekonomi, kami berharap para penerima ini akhirnya dapat berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai pembayar zakat,” kata Kapten Bersekutu (PA) Ustaz Mohd Hakim.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Encik Faeez Azahar, Setiausaha Serantau Muslim, Puan Norsyahirah Umar, Penolong Pengurus Besar (AGM), dan Puan Norizan Mohamed, Pengurus Perhubungan Dana Korporat. Mereka berkongsi perkembangan program-program yang dirancang dan sedang dijalankan oleh Serantau Muslim, termasuk yang memberi fokus kepada pendidikan dan pemerkasaan ekonomi golongan asnaf.

YB Anfal Shaari menyatakan sokongan beliau terhadap usaha Serantau Muslim dan menghargai inisiatif yang diambil untuk membantu golongan yang memerlukan. Beliau turut menyatakan kesediaan pihak kerajaan negeri untuk meneroka kerjasama yang lebih erat dalam menjayakan program-program kebajikan ini.

Pertemuan ini membuka ruang untuk perancangan strategi yang lebih berkesan dalam menyantuni golongan pelarian dan asnaf, dengan pendekatan holistik yang merangkumi aspek rohani, ekonomi, dan sosial.