Screenshot 2024-05-29 094144
Uncategorized

Serangan Israel di kem Rafah ragut sekurang-kurangnya 200 nyawa – UNRWA

Serangan udara Israel ke atas sebuah kem di Rafah di selatan Gaza, Ahad lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 200 orang, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Menurut Berita Harian bersumberkan beberapa sumber perubatan antarabangsa, sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh dalam serangan itu, antaranya wanita dan kanak-kanak.

Dalam laporan sama, Pengarah Komunikasi Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA), Juliette Touma menegaskan kesan serangan itu sangat besar, sekali gus meningkatkan kebimbangan umum terhadap kematian.

Menyedari lebih sejuta orang telah meninggalkan Rafah sejak 6 Mei, Touma menyatakan proses perpindahan masih berterusan.

Beliau turut menjelaskan hanya 200 trak bantuan tiba dalam tempoh tiga minggu lalu, jumlah yang kecil berbanding keperluan kemanusiaan yang semakin meningkat.

“Apa yang diperlukan oleh Gaza ialah 500 trak dan ia harus merupakan gabungan bekalan komersil dan bekalan kemanusiaan,” katanya.

Peperangan hampir lapan bulan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan lebih 36,000 kematian di kawasan pesisir pantai yang dilanda perang dan telah mencederakan lebih 81,100 mangsa.

Kempen ketenteraan Israel mengubah sebahagian besar kawasan 2.3 juta orang menjadi kawasan runtuhan, menyebabkan kebanyakan orang awam kehilangan tempat tinggal dan berisiko mengalami kebuluran.

Serangan Ahad berlaku walaupun keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa minggu lalu yang mengarahkan Israel menghentikan serangannya di Rafah di mana lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada konflik yang semakin memburuk.