SEKOLAH DI INDONESIA DITUTUP SUSULAN JEREBU
JAKARTA, 17 Okt – Indonesia mula mengeluarkan amaran keadaan asap akibat pembakaran hutan semakin buruk kepada rakyatnya hari ini, ketika beberapa wilayah di negara itu sudah mengarahkan sekolah ditutup, susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat.
Corak iklim El Nino tahun ini memburukkan lagi musim kebakaran hutan, yang selalunya berpunca daripada aktiviti pembersihan dan pembakaran hutan serta semak untuk tujuan pertanian, termasuk perladangan.
Agensi cuaca Indonesia dalam satu kenyataan berkata, jumlah tompok panas di beberapa bahagian di pulau Sumatera dan Borneo semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu walaupun hujan turun dan orang ramai perlu berwaspada terhadap asap.
Menurut agensi itu, sebanyak 1,547 tompok panas yang menjadi punca kebakaran atau yang meningkatkan risiko kebakaran, dikesan di enam wilayah, sambil menambah asap daripada kebakaran hutan itu boleh menjejaskan lebih banyak wilayah bergantung kepada arah angin.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan potensi asap merentas sempadan. Jerebu tebal akibat kebakaran hutan bulan lalu turut menjejaskan beberapa negara jiran, ketika cuaca kering melampau, menyebabkan pertikaian diplomatik antara Indonesia dan Malaysia.
Beberapa ditutup dan bakal dibuka semula selepas kualiti udara bertambah baik.
Agensi berita Antara melaporkan, pihak berkuasa di Palembang, ibu kota wilayah Selatan Sumatera, turut menutup sekolah selama tiga hari sejak Isnin lalu, dengan tempoh lanjutan jika keadaan masih belum pulih sepenuhnya.
Sumber: Berita Harian