WhatsApp Image 2023-07-12 at 10.54.18 AM (1)
Info Semasa

Salwan Momika ‘tali barut’ Mossad?

TEHERAN – Kementerian Risikan Iran mendakwa pelarian Iraq yang bertindak biadab mencemari kesucian al-Quran di luar sebuah masjid utama di ibu kota Sweden ketika sambutan Aidiladha pada bulan lalu merupakan ‘tali barut’ Mossad yang merupakan agensi risikan Israel.

Menurut laporan yang keluarkan Sinar Harian, Salwan Momika yang lahir di Baghdad pada 1986 telah ‘diupah’ Mossad pada 2019. Dia ‘terkenal’ di negara asalnya berdasarkan rekod jenayah lampau dan dialu-alukan oleh rejim Zionis pada masa tersebut.

“Selepas direkrut oleh Mossad, Salwan mula memainkan peranan utama untuk mengintip gerakan penentangan dan meneruskan rancangan memecahbelahkan Iraq,” ujar kementerian itu pada Isnin.

Menurutnya, sebagai ‘ganjaran’ atas pengkhianatannya kepada tanah air dan komuniti Islam, individu berfahaman ateis itu kemudiannya diberikan tempat tinggal di Sweden atas bantuan rejim Zionis.

“Salwan kemudiannya terlibat dengan beberapa ‘misi’ mengikut persekitaran baharu di Stockholm.

“Salah satu misinya adalah untuk mengalih perhatian antarabangsa terhadap kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di wilayah diduduki di Tebing Barat dengan tindakan melampaui batas iaitu membakar al-Quran,” jelasnya.

Menurutnya lagi, rancangan jahat rejim Zionis yang mahu mencetuskan propaganda media di seluruh dunia tampaknya berjaya.

“Komuniti antarabangsa hanya mendiamkan diri ketika kempen pencerobohan dilancarkan di Jenin beberapa hari kemudian.

“Tumpuan lebih diberikan kepada insiden bakar al-Quran. Ia adalah rancangan biasa rejim Zinois yang melakukan ‘projek jenayah’ lain untuk mengaburi mata orang ramai,” tambahnya.