Rusuhan di Bangladesh: 174 maut, 2,500 ditangkap
Jumlah tangkapan dalam beberapa hari keganasan di Bangladesh, melepasi paras 2,500 pada Selasa lalu, selepas bantahan terhadap kuota pekerjaan mencetuskan pergolakan yang meluas di negara ini.
Menurut sumber Berita Harian, sekurang-kurangnya 174 orang dilaporkan meninggal dunia, termasuk beberapa pegawai polis.
Demonstrasi tercetus kerana penunjuk perasaan menentang kuota kemasukan untuk pekerjaan di sektor awam pada minggu lalu, sebelum ia menjadi pergolakan paling teruk dalam tempoh pentadbiran Perdana Menteri Sheikh Hasina.
Perintah berkurung juga sudah dikenakan dan tentera dikerahkan di seluruh negara Asia Selatan itu.
Akses internet di seluruh negara secara drastik disekat bagi mengekang penyebaran maklumat.
Kumpulan pelajar yang mengetuai demonstrasi itu menangguhkan protesnya pada Isnin selama 48 jam, dengan ketuanya berkata, mereka tidak mahu reformasi yang mengorbankan begitu banyak nyawa.
Sekatan tetap dilaksanakan selepas ketua tentera berkata, keadaan sudah terkawal.
Akses internet jalur lebar dipulihkan secara beransur-ansur pada petang Selasa, walaupun internet mudah alih yang menjadi kaedah komunikasi utama untuk penganjur protes kekal tidak berfungsi.
Pegawai berkata, rehat tengah hari ketika perintah berkurung akan dilanjutkan kepada lima jam pada Rabu untuk membantu rakyat mendapatkan keperluan harian, dengan bank-bank dibuka semula buat kali pertama.
Terdapat kehadiran tentera yang besar di Dhaka. Kubu kelihatan di beberapa persimpangan dan jalan utama, dengan sekatan kawat berduri.