RIBUAN BERKUMPUL SEMPENA SEDEKAD PERANG SAUDARA DI SYRIA
IDLIB: Ribuan penduduk Syria membanjiri jalanan di Idlib kelmarin bagi memperingati 10 tahun pemberontakan anti pemerintah menyaksikan perang saudara yang dahsyat.
Di bandar utama dikuasai militan itu, orang ramai berarak dengan ada yang mengibarkan bendera bintang tiga pembangkang atau membawa gambar mereka yang terbunuh semasa konflik itu.
Laungan ‘kebebasan, kebebasan, kebebasan’ berkumandang seperti mana dilakukan kumpulan penunjuk perasaan pada 2011, menuntut pemerintahan Presiden Bashar al-Assad digulingkan.
Perang di Syria mengorbankan lebih 388,000 orang dan menyebabkan sekitar 6.7 juta rakyat kehilangan tempat tinggal termasuk hampir 5.6 juta menjadi pelarian di negara jiran, menurut perangkaan PBB.
Namun, hari ini Assad kembali menguasai lebih 60 peratus negara itu berikutan siri kemenangan yang disokong oleh Russia menentang pemberontak dan militan.
Idlib, yang mempunyai 2.9 juta penduduk, dilindungi oleh gencatan senjata sejak Mac 2020 dan adalah salah satu daripada beberapa kawasan penting yang dapat bertahan daripada tindak balas pemerintah Damsyik.
Ketika konflik itu berterusan, ketua agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat kembali apa yang dikatakannya sebagai ‘antara krisis pelarian terbesar pada zaman moden ini'”.
Ketua Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi, berkata 10 tahun krisis di Syria menyebabkan penderitaan manusia yang tidak dapat dibayangkan.
Sumber: Berita Harian