mac21_1703121929
Uncategorized

Presiden Perancis minta Israel hentikan serang balas ke atas Gaza

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata memerangi keganasan tidak bermakna ‘meratakan Gaza’, yang merujuk tindak balas Israel terhadap serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Macron turut menyeru Israel supaya “menghentikan serangan balas yang disifatkan tindakan tidak wajar, mengambil kira nyawa semua penduduk adalah bernilai dan perlu dipertahankan”.

Bagaimanapun, beliau mengakui hak Israel mempertahankan diri dan memerangi keganasan, namun menyeru perlindungan terhadap orang awam serta gencatan senjata ke arah kemanusiaan.

Israel mengekalkan pengeboman dan pertempuran darat yang kini memasuki bulan ketiga perang paling berdarah di Gaza. Ia bermula apabila Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu.

Menurut Israel, kumpulan pejuang itu menceroboh pagar sempadan Gaza yang dikawal rapi tentera, membunuh kira-kira 1,140 penduduk kebanyakannya orang awam dan menculik kira-kira 250 orang.

Sebagai tindak balas, Israel memulakan pengeboman tanpa henti di samping melancarkan pencerobohan melalui laluan darat.

Hamas semalam memaklumkan, 20,000 terbunuh di Gaza, terutama wanita dan kanak-kanak.