Polis Pakistan tumpaskan kumpulan penyeludupan organ
LAHORE: Polis di Pakistan telah menumpaskan kumpulan penyeludupan organ apabila seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang hilang ditemui di makmal bawah tanah selepas buah pinggangnya dikeluarkan.
Dalam laporan sama yang dilaporkan Berita Harian, kumpulan itu bertanggungjawab memikat mangsa muda yang terdedah dengan janji pekerjaan yang lumayan dan gaji yang besar sebelum mengeluarkan organ mereka terutama buah pinggang untuk dijual sehingga 900,000 rupee (RM17,346).
“Hanya selepas kami mengikuti bukti dan petunjuk barulah kami mendapati bahawa terdapat operasi pemerdagangan organ di sebalik kehilangan budak itu,” kata Rehan Anjum, jurucakap polis Punjab.
Berikutan itu, enam orang telah ditangkap.
“Budak lelaki itu memberitahu kami bahawa apabila dia bangun terdapat seorang lelaki Arab di atas usungan di sebelahnya, maka kami fikir kebanyakan pelanggan adalah warga asing,” kata Anjum.
Mangsa kumpulan itu dibawa ke makmal ujian perubatan yang digunakan untuk pembedahan pemindahan organ secara rahsia di bandar garrison Rawalpindi, berhampiran ibu negara Islamabad.
Kemudahan untuk pembedahan sulit seperti itu di Pakistan sering kekurangan peralatan dan piawaian perubatan yang sesuai, dan pesakit diketahui meninggal dunia akibat komplikasi.
“Saya bersyukur kerana polis menemuinya dalam keadaan hidup, jika tidak mereka telah meninggalkannya untuk mati,” kata bapa kanak-kanak itu kepada AFP di Lahore, di mana budak lelaki itu dilaporkan hilang.
Polis berkata, doktor dan pakar bedah yang terbabit dalam operasi itu tidak dapat dikesan.
Pakistan mengharamkan perdagangan komersial organ manusia pada 2010, mengenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dengan harapan dapat mengekang penjualan organ kepada pelanggan luar negara yang kaya oleh orang tengah melalui cara eksploitatif.